1MDB: Bersih Tunggu Jawapan PM, Belum Rancang Protes

Diterbitkan: Jumaat, 10 Julai 2015 9:31 AM

Maria Chin Abdullah

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) tidak bercadang mengadakan perhimpunan jalanan sebagai tanda protes atau Bersih 4 dalam masa terdekat susulan kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusinya, Maria Chin Abdullah berkata, pada masa ini tumpuan diberikan untuk mendengar jawapan Perdana Menteri berhubung dakwaan yang dilemparkan terhadapnya dan 1MDB.

“Kita sedang fikirkan (perhimpunan) tetapi belum merancang.

“Kita masih mahu Perdana Menteri menjawab mengapa tak saman lagi Wall Street Journal atau tunjuk akaun, perkara paling mudah…kita masih beri masa kepadanya,” katanya ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Bersih 2.0 di sini, Khamis.

Maria berkata, sebagai seorang yang mewakili negara dan berdepan tuduhan, Najib perlu mengambil cuti dan memberi laluan kepada siasatan.

“Jika selepas siasatan dibuktikan beliau tidak bersalah, beliau boleh meneruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri seperti biasa,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kemungkinan protes jalanan diadakan, beliau berkata, ia dilihat sebagai langkah terakhir yang akan diambil sekiranya tiada penjelasan lanjut diberikan Perdana Menteri mengenai 1MDB.

“Kita tunggu waktu dan masa yang tepat untuk membawanya ke jalanan…ia adalah langkah terakhir walaupun sekarang ini ramai orang awam dan NGO yang mendesak untuk kita lakukannya,” katanya.

Dalam pada itu, Maria berkata, pihaknya tidak mahu hilang fokus dalam perjuangan sebenarnya iaitu menuntut kerajaan yang bersih dan bertanggungjawab hanya kerana isu 1MDB.

Katanya, pihaknya akan memastikan kerajaan dan Perdana Menteri seterusnya bertanggungjawab, bebas rasuah dan bebas penyelewengan.

Tags / Kata Kunci: 1MDB , Maria Chin Abdullah , Bersih 2.0

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan