Presiden Mahkamah Rayuan Yang Pertama Meninggal Dunia

Diterbitkan: Khamis, 9 Julai 2015 9:05 PM

Lamin Mohd Yunus.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Lamin Mohd Yunus meninggal dunia awal pagi Khamis di kediaman anaknya di Tropicana, Petaling Jaya.

Beliau berumur 79 tahun.

Anak Allahyarham, Shahril, 50, yang mengesahkan kematian itu berkata bapanya menghembuskan nafas terakhir pada 2.20 pagi.

"Arwah ayah tinggal bersama saya di rumah saya di Tropicana sejak dua tahun lepas. Dia diserang strok sebulan yang lalu," katanya.

Lamin meninggalkan dua orang anak termasuk seorang anak perempuan, Haslin, 44. 

Isteri beliau, Puan Sri Noriah Kadir meninggal dunia Jun tahun lepas.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam pada pukul 10.30 pagi.

Lamin yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan mempunyai kerjaya yang cemerlang dalam badan kehakiman negara, dengan kemuncak kerjayanya dilantik sebagai Presiden pertama Mahkamah Rayuan Malaysia.

Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan perundangan dan kehakiman pada tahun 1967, di mana beliau mula berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara sebelum dinaikkan jawatan sebagai hakim pada tahun 1988.

Pada tahun 1994, beliau dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan dan tidak lama selepas itu apabila Mahkamah Rayuan ditubuhkan, dia dilantik sebagai presiden yang pertama.

Beliau bersara daripada badan kehakiman pada 12 Mac, 2001.

Lamin kemudiannya menyertai Yayasan Kuala Lumpur Untuk Menjenayahkan Perang pada tahun 2012 apabila dilantik sebagai timbalan Pengerusi Lembaga pemegang amanah yayasan itu.

Tokoh badan kehakiman itu juga terkenal kerana menyampaikan keputusan bersalah selama dua jam atas tindakan jenayah pembunuhan beramai-ramai terhadap Israel dan Jeneral Amos Yaron apabila dia menjadi Presiden Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur pada 2012 hingga 2015.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan