Dedah Dokumen Perbincangan Jika Penstrukturan Semula Air Gagal - Azmin

Diterbitkan: Khamis, 9 Julai 2015 5:06 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor telah menyediakan notis penjelasan dan surat perbincangan dengan kerajaan persekutuan berkaitan proses memuktamadkan perjanjian utama penstukturan semula industri perkhidmatan air di negeri ini untuk didedahkan kepada umum.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata kandungan dokumen itu akan didedahkan sekiranya kerajaan persekutuan tidak menunjukkan komitmen dan gagal memuktamadkan perjanjian air itu dalam tempoh terdekat.

"Saya sudah siapkan nota penjelasan yang akan kami edarkan pada masa yang sesuai termasuk surat-surat yang telah menyatakan persetujuan kedua-dua pihak berhubung isu ini.

"Sekiranya tiada komitmen oleh kerajaan persekutuan saya terpaksa mendedahkan apa-apa perkara yang telah diputuskan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor di sini, Khamis.

Beliau berkata kerajaan negeri serius untuk memuktamadkan perjanjian itu dan pihaknya tidak pernah mengubah prinsip perjanjian itu.

"Jangan salahkan kerajaan negeri, kami telah setuju dan bagi komitmen untuk memuktamadkan perjanjian ini.

"Saya juga telah mengambil langkah tambahan bertemu dengan perdana menteri dan timbalan perdana menteri baru-baru ini untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian berhubung isu ini," katanya.

Pada Selasa lepas, Mohamed Azmin dilaporkan berkata penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor yang sepatutnya dimuktamadkan dalam masa terdekat mungkin ditangguhkan lagi berikutan kerajaan negeri telah menerima notis daripada Pejabat Peguam Negara menyatakan bahawa kerajaan negeri perlu menyerahkan aset tanahnya kepada kerajaan persekutuan dalam melaksanakan penstrukturan itu.

Mohamed Azmin turut dilaporkan berkata penangguhan itu juga disebabkan sikap Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang sering berdolak-dalik dan menukar pendirian mereka dalam menyelesaikan perkara itu.

Pada Rabu, Ketua Ssetiausaha Kementerian itu, Datuk Loo Took Gee bagaimanapun menafikan dakwaan Mohamed Azmin dan menjelaskan perjanjian itu mengambil masa lebih lama untuk dimuktamadkan ekoran tuntutan berterusan oleh kerajaan Selangor ke atas dua aset persekutuan, iaitu Loji Rawatan Air Semenyih dan Loji Rawatan Air Bukit Nenas. 

Tags / Kata Kunci: Langat 2 , Air , Selangor

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan