Najib, 1MDB Malukan Negara - Tun M

Diterbitkan: Selasa, 7 Julai 2015 4:08 PM

Dr Mahathir Mohamad

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menolak dakwaan bahawa tindakan beliau mengkritik pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi akhbar harian Amerika Syarikat, The New York Times memalukan negara.

Sebaliknya bekas Perdana Menteri itu berkata, Najib dan isu membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) lebih memburukkan Malaysia di mata dunia.

"Sesungguhnya yang memalukan negara ialah Datuk Seri Najib dengan 1MDBnya.

"Sebelum ini, negara tidak pernah dicemuh dengan tuduhan-tuduhan yang tidak terjawab seperti sekarang," katanya menerusi posting terbaharu di blog chedet.cc pada Selasa.

Selain itu, Dr Mahathir membidas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman kerana berdiam diri dan tidak mengambil sebarang tindakan apabila skandal 1MDB melibatkan Najib mendapat liputan meluas media asing.

"Saya dicela oleh Anifah Aman kerana memalukan negara dengan ditemubual oleh The New York Times.

"Mungkin Anifah tidak pernah baca surat khabar Amerika sebelum usaha untuk memburukkan nama saya dijadikan asas mempertahankan Najib.

"Tetapi seluruh dunia tahu berkenaan Datuk Seri Najib, Jho Low dan 1MDB. Ini disebabkan akhbar terkenal Wasington, New York dan London telah menyiarkan rencana panjang sehingga empat muka berkenaan skandal 1MDB, Najib dengan cara hidup mewahnya, Jho Low sahabat karibnya dan Riza Aziz, anak tirinya yang membiayai filem lucah The Wolf of Wall Street," katanya.

Selain itu, Dr Mahathir turut mempersoalkan sikap Anifah kerana mengabaikan kajian pakar Barat mendakwa Malaysia adalah satu dari 10 negara yang mempunyai tahap rasuah tertinggi di dunia.

"Tetapi Anifah tidak malu dengan semua laporan ini. Tidak ada sepatah pun disuarakan olehnya. Semua laporan yang memburukkan Malaysia dibuat sebelum saya mengkritik Datuk Seri Najib.

"Jika Anifah tahu malu, waktu akhbar-akhbar ini buat laporan dia sepatutnya sudah malu. Dia sepatutnya menyoal Datuk Seri Najib akan skandal berkenaan dan laporan akhbar asing.

"Dia sepatutnya menasihatkan Najib supaya tidak bersahabat dengan Jho Low dan melarang anak tirinya dari berlagak sebagai hartawan kaya." katanya.

Tags / Kata Kunci: Najib Tun Razak , Dr Mahathir Mohamad , 1MDB

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan