PM Akan Putuskan Tindakan Berhubung Dakwaan "Cukup Jahat" WSJ

Diterbitkan: Ahad, 5 Julai 2015 7:05 PM

Perdana Menteri pada sidang media yang berlangsung kurang dua minit untuk menyatakan keputusannya mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ.

(Ubah saiz teks)

SEMENYIH: Datuk Seri Najib Tun Razak akan memutuskan tindakan undang-undang yang akan diambil terhadap media antarabangsa, The Wall Street Journal (WSJ) berhubung laporan yang mengaitkan beliau dengan dakwaan penyelewengan wang berjumlah AS$700 juta atau RM2.6 bilion dalam beberapa hari lagi.

Menyifatkan tuduhan itu sebagai "cukup jahat", Perdana Menteri berkata, beliau telah merujuk perkara tersebut kepada peguamnya dan perbincangan sedang dijalankan bagi memutuskan tindakan selanjutnya.

"Peguam-peguam saya akan beri nasihat apakah tindakan susulan dalam bentuk undang-undang yang boleh saya buat di dalam dan luar negara.

"InsyaAllah saya akan buat keputusan dalam masa beberapa hari lagi mengenai tindakan selanjutnya yang diambil berhubung dakwaan yang cukup jahat ini," katanya pada sidang media di Majlis Iftar Rakyat Negeri Selangor bersama Perdana Menteri di Masjid Bandar Rinching di sini, Ahad.

Sidang media itu berlangsung kurang dua minit bertujuan untuk Perdana Menteri menyatakan pendiriannya berhubung perkara itu tanpa sesi soal jawab.

Pada Jumaat lalu, media antarabangsa itu menyiarkan satu artikel yang memetik 'penyiasat yang tidak dinamakan' mendakwa dana hampir AS$700 juta (RM2.63 bilion) milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah disalurkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, 1MDB menegaskan tiada dana dipindahkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Najib pada masa sama turut menafikan pemindahan sebarang dana yang dikaitkan dengan beliau, malahan beliau mendakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertanggungjawab terhadap 'penipuan' terbaharu itu.



Tags / Kata Kunci: Najib Tun Razak , WSJ , 1MDB

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan