PM Tak Perlu Letak Jawatan Hanya Kerana Dakwaan Yang Disiarkan Akhbar - Nazri

Diterbitkan: Ahad, 5 Julai 2015 8:45 PM

Nazri Aziz

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak tidak perlu meletak jawatan hanya kerana akhbar menyiarkan dakwaan yang dilemparkan terhadapnya, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz.

"Bukan menjadi amalan di negara ini seseorang itu perlu meletak jawatan atau bercuti sementara hanya kerana dakwaan yang dibuat terhadapnya.

"Di negara ini, jika seseorang itu didakwa di mahkamah barulah dia perlu bercuti sehingga kes itu selesai," kata Ahli Parlimen Padang Rengas itu.

Pihak pembangkang menyuarakan pandangan supaya Najib bercuti selepas pendedahan The Wall Street Journal (WSJ) berhubung penyaluran dana hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dipindahkan ke akaun peribadi Najib.

"Ia hanya dakwaan di akhbar yang tidak disokong oleh fakta atau bukti.

"Jika Perdana Menteri perlu bercuti untuk setiap dakwaan terhadapnya, adalah lebih baik dia meletak jawatan kerana ada banyak tuduhan," katanya.

Beliau berkata, pihak pembangkang cuba mengalih perhatian perdana menteri daripada menjalankan tugas dan tanggungjawabnya kepada rakyat serta negara.

Nazri turut menggesa Najib supaya tidak menghiraukan sebarang desakan pihak tertentu kerana Peguam Negara sudah membentuk pasukan khas untuk menyiasat isu berkenaan.

Beliau menambah, Najib berhak menyalahkan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana berkomplot dengan pihak asing untuk memburukkan imejnya.

"Bukan rahsia lagi. Beliau mengadakan sidang media dan meminta Perdana Menteri meletak jawatan banyak kali dan tentunya tidak sukar untuk menilai kebenaran kata-kata Perdana Menteri itu.

"Ketika era pentadbirannya, banyak tuduhan dilemparkan terhadapnya tetapi dia tidak meletak jawatan.

"Kenapa perlu bersikap berat sebelah dalam hal ini. Banyak yang dilemparkan terhadapnya tetapi kami tetap menyokong beliau.

"Semua bentuk serangan terhadap perdana menteri sekarang, seharusnya beliau ingat bahawa ketika zamannya banyak tuduhan dilemparkan kepadanya dan ia membuatkan saya terfikir, mungkin dia sudah lupa," kata Nazri.  

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan