Ibu Bapa Mangsa Gempa Bumi Di Sabah Mahu Daki Gunung Kinabalu

Diterbitkan: Ahad, 5 Julai 2015 9:41 AM

Jaidipsinh Jhala, 48, and isterinya Karen, 48, kehilangan anak perempuan mereka, Sonia dalam kejadian gempa bumi di Sabah, 5 Jun lalu.

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Kawasan puncak Gunung Kinabalu sentiasa diselubungi awam tebal dan lembah hijau, memukau setiap pandangan.

Malah, puncak tertinggi di Asia Tenggara itu dianggap masyarakat Sabah sebagai tempat suci di mana roh-roh yang telah meninggal dunia bertemu pencipta mereka di atas langit.

Bagi warga Singapura, Jaidipsinh Jhala dan isterinya Karen, gunung yang terletak di Sabah, timur Malaysia itu adalah lokasi di mana anak kesayangan mereka, Sonia 'menemui jalan ke syurga' tulis mereka dalam obituarinya.

Pada 5 Jun 2015, murid berusia 12 tahun itu dan enam rakannya dari Sekolah Rendah Tanjong Katong (TKPS) di Singapura, mendaki Gunung Kinabalu ketika gempa bumi berukuran 5.9 magnitud meragut nyawa mereka.

Dua guru dan seorang pemandu arah warga Singapura yang menemani mereka turut terkorban.

Namun, seramai 22 murid, enam guru dan dua pemandu arah warga Singapura yang turut menyertai ekspedisi itu antara yang terselamat.

Masih cuba untuk menerima takdir kehilangan insan tersayang, ibu bapa kepada beberapa mangsa kini merancang untuk melakukan apa yang difikirkan beberapa minggu lalu: kembali ke Gunung Kinabalu.

Jhala berkata, beliau mahu mendaki gunung itu pada 5 Jun tahun depan, genap setahun pemergian Sonia.

"Ia adalah untuk menamatkan apa yang perlu diselesaikan Sonia, untuk memberi penghormatan kepadanya," kata lelaki berusia 48 tahun itu.

Isterinya berkata, beberapa ibu mangsa juga mungkin hanya boleh sampai di kaki bukit tetapi bapa mereka boleh mendaki gunung tersebut.

"Kami mungkin boleh meninggalkan bunga, atau mungkin berada di lokasi kejadian dan berdoa."

Segelintir ibu bapa mangsa yang terselamat juga mahu kembali ke gunung tersebut tahun depan.

Tristan Wing, 12, yang mengalami kesan lebam di belakangnya, masih terkenang detik hitam itu.

Namun bapanya, Alec Wing yang bekerja di sektor teknologi berkata, beliau mahu Tristan terus cuba mendaki gunung tersebut semula dan akan pergi bersama dengannya.

Seorang lagi mangsa terselamat, Emyr Uzayr, 12, yang mengalami keretakan di tengkorak kepalanya sehingga terpaksa diterbangkan ke Singapura, mahu sampai ke puncak kali ini, kata bapanya, Sadri Farick, 37.

"Ia tempat yang cantik. Anak-anak saya dan beberapa rakannya mahu melakukan pendakian itu untuk rakan mereka yang telah meninggal dunia," kata Sadri.

Aktiviti mendaki Gunung Kinabalu adalah pencapaian tertinggi untuk pelajar TKPS itu.

Mereka berlatih berbulan lamanya untuk dipilih menyertai lawatan yang dinamakan sebagai program Omega Challenge untuk pelajar dan ketua sukan.

Ketika gegaran berlalu, murid-murid TKPS memasuki hari ketiga mereka berada di pergunungan itu. Mereka berada di sana selama enam hari.

10 mangsa dari Singapura yang maut adalah Sonia Jhala, Rachel Ho, Peony Wee, Ameer Ryyan Mohd Adeed Sanjay, Emilie Giovanna Ramu, Karyl Matahom, Navdeep Singh Jaryal Raj Kumar, Terrence Sebastian Loo Jian Liang, Mohammad Ghazi Mohamed dan Muhammad Daanish Amran.

Ibu bapa Sonia yang berlepas ke Kota Kinabalu sebaik sahaja menerima berita sedih itu menceritakan semula bagaimana perasaan mereka apabila salah seorang ibu bapa murid lain menunjukkan gambar Sonia sedang cuba dibawa keluar oleh pasukan penyelamat.

"Ketika itu kami tahu dia sudah tiada lagi bersama kami," kata Jhala.

Tags / Kata Kunci: gempa bumi , Gunung Kinabalu , Sonia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan