AMK, Perkasa Buat Laporan Polis Terhadap Najib, WSJ

Diterbitkan: Ahad, 5 Julai 2015 6:07 PM

Nik Nazmi Nik Ahmad

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Dua pihak membuat laporan polis berlainan berhubung artikel The Wall Street Journal (WSJ) - terhadap Perdana Menteri dan akhbar berkenaan.

Laporan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Perkasa di Balai Polis Dang Wangi susulan dakwaan WSJ bahawa AS$700 juta (RM2.7 bilion) dana 1Malaysia Development Bhd dipindahkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad yang membuat laporan terhadap Perdana Meneri berkata, Najib perlu menangani isu itu secepat mungkin.

"Jika dakwaan WSJ dan Sarawak Report tidak benar, Najib perlu menyaman mereka.

"Bagaimanapun, jika Najib tidak menafikan dakwaan itu, beliau tidak ada pilihan kecuali meletak jawatan. Dakwaan ini serius walaupun rakyat Malaysia sudah biasa dengan pelbagai skandal rasuah sebelum ini," kata Nik Nazmi menerusi kenyataan, Ahad.

Sementara itu, laporan Perkasa terhadap WSJ pula berkaitan penipuan.

Setiausaha Biro Pemantau dan Integritinya, Azrul Akmal Saharudin berkata, sebarang tuduhan daripada luar tentu ada agensi tersembunyi dan boleh membahayakan negara.

"Biro ini mahu supaya siasatan dijalankan dengan adil tanpa sebarang unsur belas kasihan.

"Kami seiring dengan Timbalan Perdana Menteri yang mahukan pihak berwajib menyiasat kes ini secara telus dan terperinci," katanya.

1MDB menegaskan tidak ada dana yang dipindahkan ke akaun peribadi Najib, malah Perdana Menteri juga menafikan beliau mengambil sebarang dana untuk kegunaan dirinya dan menuduh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertanggungjawab terhadap pembohongan terbaharu ini.

Sementara itu, WSJ pula mempertahankan laporannya dengan mendakwa memiliki dokumen untuk menyokong tuduhan itu.

Selain itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengesahkan adanya dokumen berkaitan ditemui ketika pasukan khas menyerbu tiga premis syarikat yang dikaitkan dengan penyaluran dana itu pada Jumaat.

Tags / Kata Kunci: AMK , Perkasa , Nik Nazmi Nik Ahmad , WSJ

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan