‘Pesanan Khas' Malim Gunung Kepada Bakal Pendaki

Diterbitkan: Sabtu, 4 Julai 2015 9:45 AM

10 malim Gunung Kinabalu ketika diraikan di Konsert Amal Panggilan Kinabalu anjuran Kelab Rotary Bukit Bintang dan Kelab Rotary Bandar Utama di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Gunung Kinabalu dijangka dibuka pada September ini, namun malim gunung telah pun memberi 'pesanan' khas buat mereka yang ingin mendakinya.

Pesanan berbentuk nasihat dan motivasi itu dibuat selepas gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter melanda gunung itu 5 Jun lalu, menyebabkan ia ditutup buat sementara waktu sekali gus meninggalkan mereka hilang sumber rezeki.

Walaupun berita pembukaan semula gunung kesayangan ramai itu amat melegakan mereka, namun di sebalik berita gembira itu, timbul juga kebimbangan jika orang ramai ragu-ragu untuk menawan puncak Kinabalu seperti sebelum ini.

Mereka tidak menyalahkan pendaki, sebaliknya faham apa yang mungkin terbuku di fikiran bakal pendaki kerana mereka juga berfikir perkara sama. Sedikit-sebanyak, masing-masing akan gusar kerana Kinabalu kini berada di zon gempa bumi!

Namun yang membezakan antara malim gunung dan pendaki sudah tentulah tanggungjawab, tahap keberanian dan keyakinan sejauh mana gunung itu selamat untuk didaki.

Jemin Jabili Midin yang telah 15 tahun menjadi malim gunung terpaksa mengakui tragedi yang melanda Kinabalu adalah sesuatu yang menakutkan dan sukar untuk dilupakan.

“Saya faham, jika saya sendiri dan penduduk kampung pun bimbang akan berlaku gempa sekali lagi, apatah lagi pelancong dan mereka yang merancang untuk mendaki.

“Sebagai malim, saya akan teruskan tanggungjawab saya. Perasaan takut itu memang ada tapi saya akan ketepikannya demi mencari rezeki,” katanya ketika ditemui di Konsert Amal Panggilan Kinabalu anjuran Kelab Rotary Bukit Bintang dan Kelab Rotary Bandar Utama di sini, baru-baru ini.

Katanya, beliau sering terfikir apa yang patut dilakukannya jika ada pendaki yang trauma dan hilang semangat untuk meneruskan pendakian pada masa akan datang.

Keadaan bertambah rumit apabila sepanjang menjalankan tugas, belum pernah beliau berdepan gempa bumi dan pengalaman pada 5 Jun benar-benar memberi kesan terhadap diri dan kehidupannya.

Katanya, landskap Kinabalu telah rosak 65 hingga 75 peratus dan laluan pendaki untuk sampai ke puncak juga tidak selamat pada masa ini.

Satu ukiran besar seakan-akan wajah manusia terbentuk susulan runtuhan batu di Gunung Kinabalu berikutan hakisan selepas gempa bumi dapat dilihat oleh pengunjung yang melalui laluan Kota Belud-Ranau.-fotoBERNAMA 


Beliau menegaskan, walaupun trail baharu yang lebih selamat akan dibuka, beliau tetap akan menasihatkan para pendaki supaya berhati-hati dan meletakkan aspek keselamatan sebagai perkara utama.

“Untuk pelancong yang masih rasa takut, kita akan pesan jika mereka yakin, teruskan, kalau tak yakin boleh patah balik.

“Walau apa pun, saya dan rakan-rakan sudah bersedia membawa pendaki ke puncak dan saya harap bakal pendaki juga sama bersedia seperti kami.

“Kepada bakal pendaki, jangan lupa cari kami bila tiba di kaki Gunung Kinabalu,” pesannya penuh semangat.

Malim Gunung Kinabalu membawa turun seorang kanak-kanak yang cedera akibat gempa bumi 5 Jun lalu.


Seorang lagi malim, Jomius Binte berkata selepas kejadian dahsyat itu, beliau tiada pilihan melainkan meneruskan pekerjaannya seperti biasa sebaik sahaja gunung itu dibuka semula.

Mengakui pendapatannya tak seberapa, namun ia merupakan satu-satunya sumber rezeki untuk beliau menampung kehidupan keluarga.

Katanya, terdapat kira-kira 250 orang malim gunung dan mereka dibahagikan tugas secara bergilir-gilir dengan purata seorang malim bertugas sebanyak tujuh kali setiap bulan.

“Apa yang saya dan rakan-rakan lalui sekarang memang sukar. Tiada apa yang boleh dilakukan melainkan bersabar dan percaya kepada rezeki.

“Harapan saya apabila Kinabalu dibuka nanti, semua pendaki selamat sampai ke puncak dan kami memperoleh pendapatan dengan kerja-kerja kami,” katanya.

Beliau juga berharap agar kerajaan tampil dengan satu pelan khas supaya nasib dan kebajikan malim gunung dapat dibela jika berlaku kejadian tak diingini semasa bertugas.

Malim wanita, Kanely Labi Lucia berkata, beliau masih tidak dapat membuat keputusan sama ada mahu meneruskan tugasnya atau beralih kepada pekerjaan lain.

Katanya, sebagai malim, beliau perlu yakin dan berani supaya pendaki turut sama yakin dan bersemangat.

Keadaan lereng Gunung Kinabalu yang mengalami runtuhan teruk 10 Jun lalu sehingga menakutkan penduduk Kampung Kiau Nuluh, 70 kilometer dari Kota Belud.


“Rasa takut memang ada. Susah nak hilang rasa takut itu. Sekarang saya masih berfikir nak sambung atau tidak kerana masih terbayang-bayang kejadian itu.

"Tapi, jika saya teruskan tugas saya, saya akan cuba sedaya upaya beri semangat dan kekuatan supaya pendaki hilang rasa takut selain meminta  pendaki perbanyakkan doa,” katanya yang berada di puncak gunung ketika berlakunya gempa bumi.

Katanya, pengalaman berdepan dengan 105 pendaki yang terkandas di puncak pada hari kejadian akan digunakan dalam mengendali bakal pendaki yang mungkin takut atau lemah semangat semasa pendakian.

Konsert Amal Panggilan Kinabalu dianjurkan bagi meraikan dan memberi penghormatan kepada malim-malim gunung yang dianggap wira Gunung Kinabalu.

Dalam masa tiga minggu, penganjur telah berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM250,000 yang kebanyakannya disumbangkan oleh mereka yang berasa ‘terhutang budi’ dan mengagumi semangat serta keberanian malim dalam memastikan keselamatan pendaki.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan