Jangan Pinggir Golongan Penyakit Mental

Diterbitkan: Jumaat, 3 Julai 2015 12:11 PM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Jangan pinggirkan insan yang mengalami penyakit mental bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang lebih bermakna dalam masyarakat, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Sebaliknya, Zambry berkata masyarakat perlu lebih bertanggungjawab dengan memberi perhatian dan sokongan terhadap mereka.

"Adalah tidak wajar apabila ada pihak yang berpandangan negatif terhadap pesakit mental ini sedangkan mereka juga memerlukan perhatian dan sokongan.

"Walaupun ada yang mengatakan mereka mempunyai 'alam' yang lain, jangan kita sisihkan mereka," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama 150 kakitangan dan pesakit Hospital Bahagia Ulu Kinta di sini, malam tadi. Turut hadir Pengarah hospital itu, Dr Rabaiah Mohd Salleh.

Zambry berkata bagi membantu pesakit di hospital berkenaan, kerajaan negeri akan terus menyalurkan bantuan yang diperlukan dari semasa ke semasa dan bukan hanya pada musim perayaan sahaja.

"Saya datang ke sini bukan hanya untuk melihat mereka yang diberikan rawatan, tetapi juga kakitangan yang mengorbankan masa serta tenaga untuk mengendalikan pesakit.

"Ini adalah keprihatinan daripada kerajaan negeri terhadap kebajikan mereka. Saya harap pihak di luar akan turut tampil membantu," katanya.

Tags / Kata Kunci: Mental , Perak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan