Azmin Tersepit Dalam Kemelut PAS, DAP

Diterbitkan: Jumaat, 3 Julai 2015 10:00 AM

Mohamed Azmin Ali.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Azmin Ali kini tersepit antara kemelut yang melanda DAP dan PAS.

Ketika PAS mengisytiharkan mahu menamatkan hubungan dengan DAP, parti sosialis kini mendesak parti Islam itu membuat pengumuman rasmi bahawa keputusan tersebut tidak membabitkan PAS Selangor.

Seorang pemimpin DAP yang enggan namanya didedahkan berkata memandangkan PAS masih sebahagian daripada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, pengumuman tersebut harus diumumkan pimpinan tertinggi parti itu atau Majlis Syura, bukan hanya kepimpinan PAS Selangor.

Beliau turut membidas kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad yang memaklumkan mereka sanggup berbincang isu tersebut dengan pemimpin DAP di negeri itu.

Sumber rapat dengan pimpinan PAS bagaimanapun berkata, parti Islam itu tidak akan tunduk dengan permintaan DAP.

Berbuat demikian, katanya, sama seperti mengumumkan bahawa PAS Selangor membelakangkan keputusan Majli Syura demi mengekalkan kerusi dalam pentadbiran di negeri itu.

Kira-kira 5,000 ahli PAS diambil berkhidmat dengan kerajaan Selangor.

Pemimpin DAP itu ketika ditanya jika parti itu akhirnya memilih pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pilihan raya negeri berkata, ia akan jadi satu kesilapan.

Beliau berkata, DAP, PAS, PKR dan Barisan Nasional tidak berupaya menghadapi pilihan raya negeri pada ketika ini kerana rakyat sudah muak dengan kemelut politik di negeri itu.

"Ramai mungkin tidak akan keluar mengundi," katanya.

Jelas beliau, perbincangan sedang diadakan antara DAP, PKR dan kumpulan serpihan dari PAS untuk membentuk satu pakatan baharu.

Beliau berkata, hasil daripada perancang untuk bergabung semula dan membentuk Pakatan dengan identiti dan anggota baharu hanya akan diketahui dalam tempoh beberapa bulan lagi.

"Kami menjangkakan pilihan raya umum dalam tempoh 18 bulan akan datang dan akan lahir sebuah pentadbiran kerajaan negeri yang baharu di Selangor sebelum itu," katanya.

Seorang pemimpin PKR berkata, Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR, tersepit dalam pergeseran dalaman antara DAP dan PAS kerana beliau mempunyai hubungan baik dengan kedua-dua parti.

Katanya, walaupun PAS bertindak membelakangkan semangat dalam Pakatan dengan merancang untuk melaksanakan hudud di Kelantan, Azmin tidak dapat mengambil tindakan drastik terhadap parti itu kerana beliau tidak mahu hilang sokongan umat Islam, khususnya di Parlimen Gombak yang merupakan kubu kuat PAS.

Sumber tersebut berkata Azmin juga terhutang budi kepada PAS yang sentiasa menyokong beliau semasa krisis menteri besar Selangor pada tahun lalu.

Sokongan daripada pemimpin PAS membolehkan beliau menerajui Selangor sehingga hari ini.

Tags / Kata Kunci: kemelut PAS-DAP , PKR , Selangor

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan