Tamatkan Isu Saya Dan Nazri - TMJ

Diterbitkan: Khamis, 2 Julai 2015 11:31 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Selepas beberapa siri perang mulut, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim akhirnya mahu isu antara beliau dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz ditamatkan.

Sehubungan itu Tunku Ismail menyeru semua pihak termasuk media supaya berhenti daripada terus memainkan isu antara beliau dengan ahli politik itu.

"Saya tahu anda terhibur dengan apa yang berlaku. Apa yang ingin saya sampaikan telahpun saya katakan.

"Sekiranya terdapat apa-apa yang ingin saya sampaikan, saya akan memaklumkannya kelak. Saya akan terus bersuara demi rakyat dan kepentingan negeri saya.

"Buat masa ini, biarlah kita tamatkan isu berkenaan saya dan Datuk Nazri kerana ianya tidak kemana, dan secara jujurnya, saya pun sudah bosan dengan hal ini," katanya menerusi Facebook Johor Southern Tigers.

Selain itu Tunku Ismail sempat bergurau supaya dianjurkan pertandingan tinju antara beliau dan Nazri.

"Kalau anda mahu ianya lebih menarik, boleh diadakan satu perlawanan tinju antara saya dan Datuk Nazri, dan hasil kutipannya boleh disalurkan untuk tujuan amal...saya hanya bergurau," katanya.

Isu antara Tunku Ismail dan Nazri bermula apabila kerabat Johor itu memuat naik komen di Facebook berhubung ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke majlis dialog 'Nothing2Hide' pada awal Jun lalu.

Susulan itu Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas memberi amaran kepada Tunku Ismail agar menjauhkan diri dari politik atau akan menerima 'padah'.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan