Najib Rayu Pengamal Media Berlaku Adil, Lapor Berita Berdasar Kebenaran

Diterbitkan: Khamis, 2 Julai 2015 9:09 PM

Datuk Seri Najib Tun Razak

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Tun Razak merayu kepada semua pengamal media supaya berlaku adil dan mencari kebenaran sebelum melaporkan sesuatu berita.

Perdana Menteri berkata pengamal media juga berperanan membentuk akal budi masyarakat yang bertanggungjawab di negara ini.

"Berbeza pendapat tidak mengapa tetapi kita perlu cari kebenaran. Kalau kita kata, berbilion duit hilang, cari di mana kebenarannya, apa buktinya. Ini yang mesti kita pertahankan, kebenaran bukan siapa yang sebut itu.

"Itu sahaja yang saya minta, berlaku adillah dan cari kebenaran kerana kita nak berpandu pada al-Quran. Islam itu kebenaran yang mutlak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama pengamal media dan blogger di Kompleks Media Karangkraf di sini, Khamis.

Jelas Najib, pengamal media pada hari ini lebih cenderung bersaing sesama sendiri untuk menjadi medium pertama dalam menyampaikan sesuatu berita tanpa mementingkan ketepatan laporan tersebut.

"Ini cabaran dalam persekitaran baharu, kejar berita disampaikan secepat mungkin jadi viral. Mereka mahu menjadi yang pertama melaporkan sesuatu berita untuk bentuk persepsi, bukan ketepatan itu nombor dua2," katanya.

Beliau turut mengakui berdepan cabaran besar dalam menangkis persepsi yang dibentuk menerusi laporan tidak tepat itu.

Malah, katanya persepsi tersebut telah memberi kesan buruk kepada Barisan Nasional (BN) dalam meraih sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke -13 (PRU-13) yang lalu.

"Pada PRU dulu masih segar dlm ingatan saya kononnya 40,000 pengundi Bangladesh tunggu untuk undi BN diuar-uarkan pada saat-saat akhir sehingga kita tak mampu betulkannya. Berita dah jadi viral dan beri kesan kepada BN," katanya.

Tambah Najib lagi, isu Tabung Haji (TH) yang didakwa menggunakan wang pendeposit jemaah haji untuk menyelamatkan syarikat pelaburan strategik kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) turut memberi tamparan hebat kepada kerajaan.

"Ia sebenarnya untuk tujuan komersial yang boleh bawa keuntungan RM170 juta kepada TH. Apabila sampai kepada pendeposit TH, mereka marah kenapa kita buat begitu. Kenapa kita nak guna wang rakyat untuk selamatkan 1MDB. Sekali lagi kerosakan telah pun berlaku," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan