Ragam Ramadan: Suamiku Liat Bangun Sahur

Diterbitkan: Rabu, 1 Julai 2015 8:00 AM

Dhirar rajin membantu isterinya, Norhayati ketika di dapur.

(Ubah saiz teks)

TERLAJAK tidur atau sindrom liat bangun bersahur sudah menjadi fenomena biasa bagi sesetengah orang bujang tatkala tibanya bulan puasa, lebih-lebih lagi bagi yang tinggal bersendirian.

Malah ada juga yang memilih untuk makan sebelum tidur kerana begitu sayangkan waktu dibuai mimpi apabila perlu bangun sekurang-kurangnya 10 hingga 15 minit terakhir sebelum tibanya waktu imsak untuk bersahur.

Itu kisah bagi yang hidup membujang. Mungkin ada yang beranggapan sindrom liat bangun bersahur akan berakhir selepas seseorang itu mendirikan rumah tangga.

Bagi Mohamad Dhira Azwar Mohd Nadzri, 27, dan Norhayati Abdul Rahman, 26, pengalaman pertama kali berpuasa sebagai pasangan suami isteri dilalui dengan penuh warna warni.

Lebih manis apabila pasangan yang baharu hampir enam bulan mendirikan rumah tangga itu memilih untuk tinggal berasingan daripada keluarga kira-kira sebulan lalu sebelum tibanya Ramadan.

“Sejak selepas berkahwin saya tinggal dengan keluarga suami. Walaupun saya turut melakukan kerja-kerja rumah terutamanya di dapur, suasananya berbeza apabila berada di rumah mertua.

“Kami kemudiannya buat keputusan untuk tinggal berasingan dan cuba hidup berdikari. Tak sangka pula masa yang dipilih hanya kira-kira sebulan sebelum puasa,” kata Norhayati ketika ditemui mStar Online baru-baru ini.


Norhayati bangun seawal pukul 4.30 pagi untuk membuat persediaan bersahur.

Cerita Norhayati lagi, dia benar-benar ‘teruji’ khususnya apabila tibanya masa untuk bersahur.

“Dulu saya hanya fikir untuk diri sendiri. Kali ini saya ada suami dan cabaran yang paling besar ialah bukan mengenai menu makanan, tapi cara nak pastikan dia bangun sahur.

“Sekarang baru saya tahu dia sebenarnya susah bangun pagi lebih-lebih lagi bila nak bersahur. Saya perlu ambil masa yang lama untuk kejutkan dia. Dia ni pula kena bebel dulu baru nak bangun. Kalau dah degil sangat terpaksalah saya tarik-tarik sikit. Ada kalanya pukul 5.20 pagi baru dia nak turun katil.

“Tapi bagi 'tukang masak' pula seawal pukul 4.30 pagi dah pun bangun,” cerita Norhayati dengan penuh bersemangat mengenai gelagat suaminya itu.

Mendengar luahan isteri, Dhirar hanya tersenyum tanpa mempertahankan dirinya tanda bersetuju.

“Alahai…tak payah la cerita bab tu, buat malu je. Bukan selalu pun kan? Lagi pun sekarang sudah ada isteri, saya tahu awak akan kejutkan sampai bangun,” kata Dhirar sambil memandang Norhayati.

Akui Dhirar yang bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dia sememangnya berhadapan masalah susah bangun tidur sejak sebelum berkahwin.

Bagaimanapun menurut Norhayati, suaminya itu agak ‘sporting’ kerana mahu membantunya di dapur.

“Dia tak pandai masak, kalau tolong potong sayur pun tak berseni, saiz ikut suka hati. Tapi saya tetap gembira kerana dia mahu membantu apa yang boleh.

“Tapi perkara yang menjadi kepakarannya ialah basuh pinggan. Biasanya dia yang akan mainkan peranan dalam bab mencuci,” katanya yang memilih untuk berkerja secara sambilan di rumah sebagai pereka grafik.

Sementara itu, bagi pasangan Mohd Farhan Darwis, 27, dan Qurnisha Hamka, 26, pula, mereka pernah berhadapan situasi terlajak tidur hingga melepasi waktu sahur.

Cerita Qurnisha, dia dan suami ‘tidur mati’ hingga tidak sedar deringan jam loceng dari telefon bimbit.

“Alhamdulilah puasa ok, tapi hari kedua puasa kami terlajak untuk bangun sahur. Bangun-bangun je dah pukul 6 pagi,” kata Qurnisha menerusi mesej di Facebook ketika pertama kali penulis mendekatinya untuk ditemubual.

Walaupun pada mulanya dia keberatan untuk bekerjasama kerana malu berkongsi kisah peribadi, Qurnisha dan Farhan akhirnya bersetuju untuk menceritakan pengalaman mereka yang pertama kali menyambut ketibaan Ramadan.

“Sebelum tidur Farhan dah masak asam pedas ikan jenahak. Asam pedas memang kepakaran dia.

“Tapi apa nak buat tak ada rezeki nak bersahur dengan asam pedas tu. Simpan untuk berbuka sajalah,” cerita Qurnisha yang mesra di panggil Sha mengenai ragam hari kedua berpuasa sebagai pasangan suami isteri.


Menyediakan juadah untuk berbuka dan bersahur menjadi rutin pasangan ini jika berkelapangan.

Menurut Qurnisha lagi, dia sangat memahami sikap Farhan yang sememangnya susah untuk bangun pagi.

Farhan dan Qurnisha yang berasal dari Johor mendirikan rumah tangga pada 21 Februari lalu.

Bagi pasangan wartawan di dua portal berita berasingan itu, mereka lebih selesa untuk saling bantu membantu dalam menyediakan juadah sama ada untuk berbuka atau sahur.

“Sha ni suka makanan masin, pernah juga dia masak nasi goreng biasa yang sepatutnya pedas tapi rasanya masin.

“Sebab itu saya selalu akan masuk dapur juga bila nak memasak. Perlu pantau apa yang dia masak,” kata Farhan ketika mendedahkan perihal isterinya itu.

Sesekali Qurnisha dilihat mencubit suaminya kerana tidak berpuas hati dengan komen mengenai ‘nasi goreng masin’ hasil air tangannya itu.

Selain itu, menurut Farhan, sambutan Ramadan kali ini lebih bermakna dan dilalui dengan sempurna selepas berumah tangga.

“Kualiti kehidupan selepas kahwin lebih bermakna. Walaupun masing-masing sibuk dengan jadual harian yang tidak menentu, Alhamdulillah kami masih ada masa untuk beribadah bersama-sama.

“Kami cuba jadikan rutin harian untuk mengunjungi surau dan masjid yang berlaian setiap malam untuk mengerjakan solat tarawih,” katanya.

Bagi pasangan Mohd Fadly Khamis, 29, dan Nor Hidayah Mohamed Fadzil, 27, mereka juga mempunyai kisah menarik ketika pertama kali menyambut Ramadan.

Menurut Hidayah, dia berhadapan masalah untuk menyediakan menu makanan untuk suaminya.

Walaupun si suami tidak cerewet, namun adakalanya Hidayah menjadi ‘stress’ untuk memasak menu yang memenuhi selera dan citarasa pasangannya.

“Setiap hari saya kena fikir nak masak apa untuk sahur. Selama ni saya fikir perut sendiri saja atau kebiasaannya mak akan siapkan semuanya.

“Tapi apabila sudah bersuami, saya perlu berikan komitmen yang lebih mengenai aspek penyediaan makanan. Tak boleh ambil mudah dan pada masa sama saya juga belajar untuk memperbaiki cara memasak,” katanya yang kini berkhidmat sebagai Eksekutif Pemasaran dan Promosi di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya.


Hidayah mengakui stress untuk menyediakan hidangan yang memenuhi citarasa suaminya.

Bercerita mengenai pengalaman bersahur, Fadly yang baharu pulang dari tugasan luar di Acheh, Indonesia sehari sebelum umat Islam berpuasa berkata, dia hanya meminta isterinya untuk memasakkan menu ringkas untuk mereka berdua.

“Saya teringin nak makan nasi goreng. Jadi saya minta dia sediakan. Saya katakan padanya supaya tak perlu susah-susah nak masak makanan yang terlalu berat untuk sahur,” katanya yang bekerja sebagai wartawan penyiaran di syarikat produksi di sebuah stesen televisyen swasta tempatan.

Ditanya sama ada nasi goreng yang dimasak itu memenuhi citarasa atau sebaliknya, Fadly memandang Hidayah sambil menganggukkan kepala.

“Tapi geram betul, penat saya masak banyak-banyak, dia makan sikit je.

“Saya fikir masakan saya tak sedap, tapi Fadly kata memang dia makan sedikit je waktu sahur, kata Hidayah.


Walaupun tidak pandai memasak, Fadly rajin membantu isterinya didapur.

Ditanya gelagat Fadly sebelum bersahur, Hidayah berkata, dia tidak menghadapi banyak masalah untuk mengejutkan suaminya.

“Alhamdulillah tak susah nak pastikan dia bangun bersahur. Tapi kadang-kadang saya akui dia memang liat juga nak bangun.

“Tapi tak selalu macam tu. Alhamdulillah buat masa ini kami belum terlajak atau terlepas waktu sahur,” kata Hidayah

Pasangan ini disatukan dalam majlis akad nikah di Shah Alam pada 1 Mei lalu.

Ketika artikel ini ditulis, Fadly sekali lagi terpaksa meninggalkan isterinya kerana perlu menyelesaikan baki rakaman di beberapa negeri dalam negara untuk siaran televisyen.

“Saya akan gunakan masa yang ada ini untuk melakukan eksperimen memasak. Ketika Fadly tak ada saya boleh cuba memasak menu-menu baharu yang belum pernah dicuba sebelum ini,” katanya yang begitu positif walaupun terpaksa bersendirian sama ada ketika bersahur dan berbuka puasa.
Tags / Kata Kunci: Sahur , Puasa , Ramadan

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan