Pegawai Kerajaan Malaysia Di Sempadan Sewa Rumah Di Thailand

Diterbitkan: Rabu, 1 Julai 2015 12:53 PM

(Ubah saiz teks)

BUKIT KAYU HITAM: Beberapa pegawai kerajaan yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand dikesan sering masuk ke negara jiran dalam waktu kerja dan ada yang menyewa rumah di pekan-pekan negara itu, kata Penasihat Khas Perdana Menteri Mengenai Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) Datuk Mohd Johari Baharum.

Beliau bimbang tindakan pegawai kerajaan itu boleh menjejaskan kawalan keselamatan di kawasan sempadan.

"Saya tahu ramai pegawai kerajaan yang pada waktu bertugas berada di sana (Thailand). Ini yang membuatkan hendak melaksanakan tugas susah, kerana mereka sering berulang-alik ke Thailand.

"Saya juga tahu ada pegawai kita yang menyewa rumah di seberang sana (Thailand). Lepas bertugas balik sana. Ini kerana kadar sewa (rumah) murah di sana," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa di kem Batalion ke-5 Rejimen Sempadan di sini, Selasa malam.

Mohd Johari yang juga anggota Parlimen Kubang Pasu meminta kerajaan terutama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa memandang serius masalah pegawai kerajaan kerap keluar-masuk ke negara jiran itu.

Selain masalah kawalan keselamatan, katanya, tindak-tanduk pegawai yang masuk ke Thailand dalam waktu bertugas patut dipantau.

Johari percaya terdapat pegawai kerajaan yang terlibat dengan kegiatan menyalahi undang-undang sehingga menyebabkan kawalan keselamatan di sempadan negara mudah dibolosi.

Beliau memberikan contoh kewujudan kem-kem transit pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, yang menunjukkan kemungkinan penglibatan "orang dalam" sehingga membuatkan sempadan negara mudah dibolosi.

"Ini amat memalukan negara kita," katanya dan mencadangkan supaya tempoh maksimum penugasan pegawai-pegawai kerajaan di sempadan hanya selama dua tahun sebelum ditukar dengan pegawai baharu.

Selain itu, katanya, sudah tiba masanya bagi kerajaan melaksanakan pembinaan tembok di sempadan Malaysia-Thailand terutamaa di kawasan-kawasan yang kritikal dengan masalah penyeludupan dan jenayah lain.

Peruntukan daripada Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), katanya, perlu disalurkan bagi pembinaan tembok sempadan ini, selain melengkapkannya dengan kemudahan Kamera Litar Tertutup (CCTV) dan lampu-lampu.

Johari juga meminta kerajaan menyegerakan pemasangan mesin-mesin pegimbas pada laluan keluar-masuk lori di pintu sempadan negara, bagi memudahkan usaha mengesan kemasukan barang-barang terlarang ke negara ini.

Setiap hari, katanya, ratusan lori memasuki negara ini menerusi pintu masuk Bukit Kayu Hitam dan pegawai penguat kuasa hanya melakukan pemeriksaan secara rawak berdasarkan maklumat diterima terhadap lori-lori terbabit.

Sementara itu Pegawai Pemerintah Batalion ke-5 Rejimen Sempadan Lt Kol Nazaruddin Ismail berkata setakat ini tidak ada anggotanya yang dikesan menyewa rumah di wilayah Thailand.

Katanya mana-mana anggota tentera yang didapati menyewa rumah di wilayah Thailand, atau menyeberangi sempadan tanpa kebenaran, berhadapan dengan tindakan disiplin termasuk dibuang daripada perkhidmatan angkatan tentera.

Tags / Kata Kunci: Thailand , Sempadan

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan