Sambutan Ramadan Di Masjid Jama, Old Delhi

Diterbitkan: Selasa, 30 Jun 2015 9:00 AM

Kanak-kanak membantu menyiapkan juadah iftar untuk diagihkan kepada jemaah Majid Jama, Old Delhi.

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Musim tengkujuh yang amat dinanti-nantikan penduduk di New Delhi akhirnya tiba setelah berbulan-bulan terpaksa menanggung bahang panas matahari musim panas.

Dengan suhu sekitar 28 hingga 33 darjah Celsius, perubahan cuaca ini semestinya melegakan terutamanya untuk mereka yang beragama Islam yang sedang menjalani ibadah puasa bulan Ramadan atau disebut di sini sebagai Ramazan.

Di New Delhi, hampir 20 peratus daripada jumlah penduduknya seramai 22 juta beragama Islam.

Bagi diri saya, masuk minggu kedua bulan puasa ini, saya membuat keputusan untuk melihat bagaimana orang Islam di India berpuasa.

Untuk tujuan ini, saya berkunjung ke masjid paling besar dan bersejarah di India iaitu Masjid Jama terletak di Old Delhi, sekitar 20 kilometer dari New Delhi.

Masjid ini dikhabarkan sibuk dengan pelbagai kegiatan sepanjang bulan Ramadan ini.

Perjalanan ke sana adalah yang kedua bagi saya dan saya merancang akan melakukan lagi kunjungan ke masjid yang tersergam indah itu.

Di India, setiap masjid mempunyai keunikan dan sejarahnya yang tersendiri.

Masjid Jama ini menyerlahkan sumbangan hebat maharaja Mogul yang tidak asing lagi iaitu Shah Jahan kepada peradaban seni bina dan Islam.

Masjid ini dibina antara 1644 hingga 1656 sewaktu pemerintahan Shah Jahan dan baginda juga bertanggungjawab membina istana tersohor, Taj Mahal yang dikategori sebagai antara tujuh benda ajaib dunia.

Pelawat ke Old Delhi terutamanya bukan Islam sudah pasti tidak akan melepaskan peluang melawat masjid ini dan sebuah lagi bangunan yang dibina oleh Maharajah ini iaitu Kubu Merah (Red Fort).

Menurut ahli sejarah, reka bentuk seni bina masjid ini seakan sama dengan Masjid Badshahi, yang dibina kemudiannya oleh anak lelaki Shah Jahan iaitu Aurangzeb di tempat yang kini dikenali sebagai Lahore, Pakistan.

Sewaktu kunjungan pertama saya ke sini pada bulan Februari, saya tidak meninjau secara terperinci kawasan masjid ini kerana masa itu saya tidak mengenakan pakaian yang sesuai.

Sememangnya menjadi pegangan saya tidak akan masuk ke mana-mana tempat suci sekiranya saya hanya memakai jeans dan kemeja-T.

Memandangkan kali ini saya lebih bersedia, malahan pengawal keselamatan dan pengunjung beragama Islam yang lain turut menggalakkan saya supaya masuk ke dalam kawasan masjid.

Keseluruhan struktur masjid dibina menggunakan batu merah dan marmar. Saya tertanya-tanya sendiri sama ada boleh dibina replika bangunan yang lagi hebat menggunakan teknologi moden.

Saya sempat berbual dengan imam di masjid itu yang memberitahu saya masjid itu boleh menampung sehingga 30,000 jemaah untuk solat Jumaat.

Meskipun saya berada di masjid itu pada pukul 6.30 petang iaitu sebelum sembahyang Maghrib, sudah ada ribuan orang berkumpul di masjid dan sedang membuat persediaan untuk majlis berbuka puasa beramai-ramai.

Saya berada di kawasan masjid selama kira-kira sejam dan berasa begitu dialu-alukan.

Di mana sahaja saya memandang, saya ditegur dengan senyuman. Memang indah masjid ini dengan ukiran ayat-ayat Quran memenuhi dinding serta tiangnya.

Masa begitu terhad untuk saya meninjau seluruh kawasan masjid dan saya akan melakukannya dalam kunjungan akan datang.

Pemandangan dari atas menara setinggi 40 meter memberikan saya peluang menikmati keindahan pemandangan Old Delhi.

Saya mendapat tahu kemudian hampir 90 peratus bangunan, kedai dan rumah sekeliling masjid ini berusia sekurang-kurangnya satu abad.

Saya kemudian beredar ke kawasan di mana terdapat ramai penjual pelbagai jenis makanan dan minuman.

Seorang peniaga memberitahu saya akan sejenis makanan dikenali sebagai "Semiya", diperbuat daripada tepung gandum dan ia adalah makanan yang wajib ada semasa bulan Ramadan.

Semiya ini diperbuat dalam pelbagai warna dan cara ia disusun menjadikan kedai yang menjualnya begitu menarik perhatian.

Terdapat ratusan gerai di sini dengan pelbagai jualan dan semuanya ini mengingatkan saya kepada bazar Ramadan di Malaysia.

Kunjungan saya ke Old Delhi dan ke Masjid Jama memberi saya peluang menyaksikan satu sudut kehidupan orang Islam di India.

Saya sememangnya merancang untuk melakukan banyak lagi lawatan ke tempat-tempat menarik serta bersejarah yang kaya dengan keindahan seni bina di New Delhi dan bahagian lain India pada masa akan datang. -- Bernama



Tags / Kata Kunci: Masjid Jama , Old Delhi , Ramadan

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan