Hanya Loji Langat 2 Kaedah Selesai Krisis Air

Diterbitkan: Selasa, 30 Jun 2015 12:20 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tiada kaedah lain! Hanya dengan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2) dan Sistem Agihan LRAL2 dapat menyelesaikan krisis bekalan air di Selangor dan Lembah Klang.

Demikian tegas Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) S. Piarapakaran yang berpendapat kelewatan pembinaan LRAL2 turut mendatangkan masalah kerana 34 Loji Rawatan Air di Selangor hanya menghasilkan 4.371 bilion liter air terawat sehari sedangkan keperluan semasa pengguna mencecah 4.322 bilion liter sehari.

Menurutnya, jika sebelum ini masalah bekalan air berpunca daripada beberapa faktor termasuk kandungan ammonia yang tinggi di Sungai Langat, namun masalah lebih kritikal kini apabila permintaan air terawat melebihi bekalan air disebabkan margin simpanan air terawat yang semakin tipis.

Di bahagian selatan Selangor sahaja, katanya, margin simpanan air terawat adalah kurang daripada satu peratus, menyebabkan bekalan air boleh lumpuh sekiranya pembinaan LRAL2 terus dilengahkan.

"Lebih membimbangkan apabila cuaca panas dan kering melanda negara, permintaan bekalan air akan meningkat sama," katanya kepada Bernama di sini Selasa. 

Pada 17 Jun lepas, kerajaan pusat menggesa kerajaan Selangor meneruskan kerjasama bagi menjayakan penstrukturan dan pelaksanaan projek LRAL2 seperti yang telah dipersetujui kepimpinan negeri sebelum ini.

Menurut Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, sekiranya perjanjian tersebut masih belum menemui jalan penyelesaian, kerajaan pusat boleh mengambil alih kawalan operasi pengagihan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mengikut Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Selain mempergiat pembinaan LRAL2 yang mampu menampung kapasiti 1,130 juta liter air sehari itu, Piarapakaran turut mencadangkan supaya projek pengurangan air tidak terhasil (NRW) dijalankan serentak bagi menambah kapasiti air untuk diagihkan kepada pengguna.

Kawasan tadahan untuk LRAL2 juga perlu diwartakan sebagai kawasan simpanan kekal supaya jaminan air mentah tidak terjejas, katanya.

"Projek NRW juga termasuk membaik pulih saluran paip bocor dan rosak yang bersambung dengan loji rawatan supaya air yang melalui saluran itu tidak terbazir begitu sahaja, seterusnya dapat membantu meningkatkan kapasiti air untuk diagihkan," katanya.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga dinasihat untuk mengenal pasti kaedah-kaedah untuk mengehadkan peningkatan permintaan bekalan air kepada aktiviti tertentu yang dikenal pasti mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Sementara itu Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Priscilla Alfred turut mengakui gangguan bekalan air adalah disebabkan permintaan air yang tinggi dan sudah mencapai tahap kapasiti maksimum.

"Situasi menjadi lebih buruk kerana bilangan penduduk kian bertambah dan juga penggunaan air meningkat sebanyak tiga peratus pada bulan Ramadan," katanya.

Bagi pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Pekan Batu 14, Hulu Langat Abd Rashid Ahmad, kesemua penduduk di kawasan terlibat gangguan bekalan air terpaksa menumpang membasuh di rumah saudara dan rakan taulan.

"Syabas ada sediakan lori air tapi masih tak cukup untuk menampung 1,500 keluarga yang tinggal di kawasan ini," katanya.

Penghuni rumah pangsa Sri Melaka di Cheras Che' Som Che A'ad pula berkata beliau terpaksa melupakan hasrat untuk memasak makanan berbuka puasa dan sahur demi menjimatkan penggunaan air.

"Bekalan air hanya ada untuk seketika sahaja iaitu sekitar empat pagi dan terputus satu jam kemudian..(hal ini) sangat membebankan bukan sahaja susah nak masak tapi nak basuh baju pun kena tumpang di rumah anak," katanya.
Tags / Kata Kunci: krisis air , Loji Langat 2 , AWER

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan