Urus Niaga Tiga Lagi Hartanah Mara Di Australia Dipersoal

Diterbitkan: Isnin, 29 Jun 2015 3:02 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO), National Oversight and Whistleblowers (NOW) mempersoalkan urus niaga tiga lagi hartanah di Australia yang didakwa dibeli Majlis Amanah Rakyat (Mara) kerana ia tidak dibuat secara terus menerusi anak syarikatnya, Mara Inc.

Pengarah Eksekutif NOW, Rafizi Ramli mendakwa satu hartanah iaitu 746, Swanson Street turut didaftarkan menerusi penubuhan syarikat milik penuh di luar pesisir pantai di Kepulauan British Virgin (BVI) sebagaimana yang dibuat bagi pembelian Dudley International House.

Katanya, ini bermakna segala maklumat kewangan dan operasi syarikat itu dilindungi sepenuhnya oleh kerahsiaan dan tidak termasuk dalam carian umum.

Mengenai dua lagi hartanah, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa Mara Inc membeli hartanah di 333, Exhibition Street dan 51, Queen Street menggunakan tiga lapisan syarikat di negara berbeza, masing-masing didaftarkan di Labuan, Singapura dan Australia.

"Daripada maklumat ini, jelas bahawa pembelian hartanah ini distrukturkan untuk menyembunyikannya dari pengetahuan awam dengan menggunakan syarikat di BVI atau menggunakan beberapa lapisan syarikat yang didaftarkan di negara berbeza untuk memisahkan hartanah itu dari Mara Inc.

"Kenapa syarikat-syarikat di BVI, Labuan dan Singapura digunakan untuk membeli hartanah-hartanah ini sedangkan pemilik sebenarnya ialah Mara Inc," katanya pada sidang media di pejabat NOW di sini, Isnin.

Akhbar Australia, The Age sebelum ini mendedahkan Mara membeli satu hartanah dikenali sebagai Dudley International House pada harga RM65.2 juta walaupun harga sebenarnya hanya RM51.5 juta.

Lebihan pembayaran itu didakwa disalurkan kepada seorang pegawai atasan Mara, pegawai kanan dan bekas ahli politik.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, tindakan menggunakan syarikat berbeza itu bukan sahaja menimbulkan syak, malah ia membabitkan belanja pengurusan dan pentadbiran yang merugikan Mara.

"Kenapa sampai lapan syarikat yang terlibat? Bukankah sepatutnya Tan Sri Annuar Musa sudah sedia maklum pembelian hartanah ini bermasalah dengan hanya melihat struktur pegangan yang digunakan oleh Mara Inc.

"Kenapa daripada keseluruhan kerajaan dari Mara, Majlis Mara dan Majlis Ekonomi, tiada siapapun membangkitkan mengenai pembelian hartanah menerusi beberapa lapisan syarikat ini yang menutup pembelian oleh Mara Inc daripada diketahui umum. Kenapa Tan Sri Annuar Musa tidak mempersoalkannya atau mengarahkan siasatan dijalankan," soal Rafizi.

Minggu lalu, Rafizi menggesa Mara memberi penjelasan mengenai pembelian tiga lagi hartanah di Australia, sama ada ia turut melibatkan unsur rasuah atau tidak.


Tags / Kata Kunci: NOW , Mara , Annuar Musa , Rafizi Ramli

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan