Penangguhan Pemilihan Umno Perkara Biasa - Tun M

Diterbitkan: Sabtu, 27 Jun 2015 2:58 PM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Keputusan menangguhkan pemilihan UMNO yang dijadualkan pada tahun depan selama 18 bulan merupakan tindakan biasa, yang turut dilakukan sebelum ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden Umno itu berkata, beliau juga pernah menangguhkan pemilihan UMNO ketika memimpin parti utama Barisan Nasional (BN) itu berikutan beberapa sebab.

"Saya dulu pun biasa tangguh juga (pemilihan UMNO). Saya tangguh pasal takut bergoncang dalaman, masalah dan perpecahan," katanya kepada pemberita ketika melawat Ukir Mall yang menempatkan peniaga Pekan Rabu, di sini.

Pada Jumaat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan keputusan Majlis Tertinggi UMNO untuk menangguhkan pemilihannya bagi memberi peluang kepada parti untuk berkhidmat kepada rakyat dan mengukuhkan perpaduannya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata penangguhan itu dibuat mengikut Fasal 10.16 perlembagaan parti yang memberi hak kepada MT untuk menangguhkan pemilihan di peringkat MT, bahagian dan cawangan.

Mengenai lawatannya di Ukir Mall hari ini, beliau yang ditemani isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali dalam lawatan itu berkata, bilangan peniaga di kompleks membeli-belah yang terletak di tengah-tengah pusat bandar raya Alor Setar semakin ramai.

Kompleks itu merupakan penempatan sementara bagi peniaga di Pekan Rabu berikutan pembinaan semula pusat membeli-belah ikonik yang akan mengambil masa selama dua tahun setengah.

"Apabila dia (peniaga) pindah ke sini (Ukir Mall) takut tidak ada orang, tetapi orang ramai jugak, lagi ramai," katanya dan berharap, pihak berkuasa akan membina bangunan yang lebih besar kerana bilangan peniaga yang semakin ramai.

Beliau juga memuji peniaga di Ukir Mall yang menjual produk berlainan dan tidak hanya tertumpu kepada barangan sama.

Tags / Kata Kunci: Ukir Mall

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan