Khairul Anwar Lepas Semua Jawatan Dalam Umno

Diterbitkan: Sabtu, 27 Jun 2015 9:32 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat mengumumkan akan melepaskan semua jawatan dalam Umno berkuatkuasa 11 Julai depan bagi meneruskan kerja-kerja kemasyarakatan di dalam dan luar negara.

Pelepasan jawatan itu turut bertujuan untuk perluasan operasi korporat firma Khairul Group yang diterajui beliau.

Beliau yang mengesahkan pelepasan jawatan dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, ia membabitkan jawatan Ketua Pemuda Umno Kluang, Naib Ketua Pemuda Umno Johor dan Ketua Sekretariat Perundangan Umno Malaysia.

"Keputusan ini diambil selepas mendapat restu daripada ibu bapa saya serta perbincangan mendalam bersama ahli keluarga.

"Mohon doakan saya berjaya dalam apa jua lapangan yang bakal saya ceburi kelak," katanya.

Khairul Anwar berkata, beliau berharap agar keputusan yang diambil itu mendapat petunjuk Allah SWT dan seterusnya diterima baik oleh semua pihak.

"Jutaan terima kasih atas segala nasihat dan dorongan, izinkanlah saya dahului dengan ucapan penghargaan jazzakallahu khairan khatira," katanya.

Khairul Anwar merupakan penganjur program Nothing2Hide yang merupakan sesi soal jawabPerdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama beberapa kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini.

Bagaimanapun, program tersebut dibatalkan atas arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar atas faktor keselamatan.

Terdahulu, Unit Komunikasi Korporat Khairul Group pada pagi Sabtu berkata, serentak dengan pelepasan semua jawatan yang disandang Khairul Anwar dalam Umno, syarikat itu akan memperluaskan operasinya ke Asia Barat dan Eropah.

Menurut kenyataan itu, rancangan pengembangan tersebut sebelum ini tertangguh berikutan Khairul Anwar masih bergiat aktif dalam politik.

"Semoga langkah terbaharu ini dapat memberi manfaat kepada firma terutama bagi memuktamadkan beberapa rundingan dalam bidang hartanah, perundangan dan mediasi antarabangsa," jelas kenyataan itu.






Tags / Kata Kunci: Khairul Anwar Rahmat

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan