Bekalan Makanan Untuk Aidilfitri Cukup - Berita Semasa | mStar

Bekalan Makanan Untuk Aidilfitri Cukup

Diterbitkan: Sabtu, 27 Jun 2015 3:07 PM

(Ubah saiz teks)

BERA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada Sabtu, memberi jaminan bekalan daging, ayam, sayur-sayuran dan kelapa mencukupi untuk sambutan Aidilfitri.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau telah mengarahkan pengimport dan pemborong untuk menyediakan bekalan yang secukupnya, dan jumlah simpanan itu juga sentiasa bertambah dari semasa ke semasa.

"Kita yakin pengguna juga tidak akan menghadapi masalah mendapatkan barang keperluan itu kerana persediaan awal menambah bekalan sentiasa dibuat oleh agensi di bawah kementerian.

"Ini termasuk tindakan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menambah import sejuta biji kelapa daripada kebiasaan," katanya semasa ditemui pada Majlis Tadarus al-Quran peringkat negeri Pahang di sini, Sabtu.

Beliau berkata 500 pasar tani FAMA seluruh negara akan menjual barang keperluan seperti daging, ayam dan sayuran segar pada harga berpatutan bagi memudahkan orang ramai membuat persediaan, seminggu sebelum hari raya.

Ismail Sabri juga menjelaskan kementeriannya hanya membekal barangan keperluan, manakala pengawalan harga tertakluk kepada bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Tambah beliau, kementeriannya akan bekerjasama dengan lain-lain kementerian dan agensi penguat kuasa bukan sahaja bagi memastikan bekalan mencukupi, malah harga yang dijual berpatutan.

Tags / Kata Kunci: Aidilfitri

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan