Muhyiddin Tonjolkan Usaha Malaysia Majukan Bidang Pendidikan Di Nassau

Diterbitkan: Khamis, 25 Jun 2015 1:31 PM

Muhyiddin ketika membentangkan usaha Malaysia memajukan bidang pendidikan pada persidangan di Nassau.

(Ubah saiz teks)

NASSAU: Dalam usaha membantu sesama negara anggota Komanwel meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan, Malaysia pada Rabu  menyumbang AS$200,000 (RM750,000) serta berkongsi langkah yang dilaksanakannya dalam menambah baik kualiti pendidikan nasional.

Berucap pada Persidangan Menteri-menteri Pendidikan Komanwel Ke-19 (19CCEM) di sini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kuala Lumpur sedar tentang potensi besar yang boleh dimanfaatkan daripada perkongsian pengalaman dan ilmu.

Sehubungan itu, beliau menyuarakan iltizam Malaysia untuk membantu Commonwealth of Learning (COL), penerima sumbangan itu, ke arah mencapai matlamatnya.

Beribu pejabat di Burnaby, British Columbia, Kanada, COL menggalakkan pembangunan dan perkongsian pembelajaran terbuka serta penerokaan ilmu  pendidikan, sumber dan teknologi secara jarak jauh.

"Malaysia amat ingin melihat wujudnya peningkatan pembabitan serta percantuman idea dan perkongsian pintar dalam kalangan negara anggota Komanwel," kata Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan.

Muhyiddin memberitahu peserta persidangan itu, yang berlangsung di pusat peranginan Atlantis, Convention Centre on Paradise Island, di sini bahawa untuk meningkatkan kualiti pendidikan nasional, kini Malaysia melaksanakan transformasi pendidikan secara paling komprehensif.

Beliau menyentuh tentang Rangka Tindakan Pendidikan Malaysia yang meliputi pendidikan prasekolah, pendidikan asas, hinggalah kepada pendidikan tinggi dan pembelajaran sepanjang hayat melalui pelbagai inisiatif yang disediakan dalam pelbagai bidang.

"Ini termasuk meningkatkan kadar celik huruf dan angka, melaksanakan kurikulum bersandarkan tanda aras antarabangsa, yang berlandaskan tahap kemahiran berfikir lebih tinggi (HOTS) dan memberi fokus utama terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)," katanya.

Muhyiddin juga menonjolkan usaha Malaysia untuk memperkemaskan penawaran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), termasuk cara bagi meningkatkan kesedaran dan kemahiran pelajar.

"TVET sedang diperkemaskan untuk menjadi laluan paling penting bagi memperkasakan asas modal insan berkemahiran dalam usaha Malaysia menyusun semula tenaga kerja mahirnya untuk terus menjadi negara yang terus memiliki daya saing dan inovasi," katanya.

Muhyiddin berkata, Malaysia perlu memiliki kualiti dan kuantiti modal insan STEM bagi membolehkannya melaksanakan model ekonomi sewajarnya ke arah mencapai inspirasi jangka panjangnya dari segi ekonomi dan kemasyarakatan.

Menurut beliau, untuk mencapai sasaran itu, para guru, pensyarah dan pemimpin akademik Malaysia perlu memiliki standard yang tinggi dan dalam hubungan ini, usaha sedang dilakukan bagi memastikan hanya mereka yang memiliki "kuasa kuda" dan perilaku yang tepat, diberi amanah untuk melaksanakan tugas memacu transformsi pada pelbagai peringkat dalam ekosistem penyampaian pendidikan.

Menyentuh tentang sistem pendidikan negara yang berlandaskan prinsip pembelajaran "dari buaian hingga ke alam kerjaya", beliau berkata langkah itu akan membantu mereka mencapai potensi masing-masing, menyemai kecintaan terhadap pembelajaran sepanjang hayat, menjadikan mereka berdaya saing di peringkat global dan mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran kehidupan.

Malaysia, kata beliau, memberi penekanan sama berat terhadap usaha melahirkan individu seimbang dan holistik, yang mampu menghadapi cabaran luar biasa, dan memupuk etika serta akhlak yang betul, selain kemahiran dan ilmu, bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dan mampu bertahan dalam keadaan dunia yang sentiasa berubah.

"Kami akan memupuk set minda keusahawanan melalui keseluruhan sistem pendidikan tinggi Malaysia dan mewujudkan suatu sistem yang mampu melahirkan siswazah bersemangat tinggi untuk mencipta pekerjaan, bukan yang hanya ingin mencari pekerjaan," katanya.

Persidangan dari 22 hingga 26 Jun ini bertujuan menangani pelbagai isu, termasuk pembiayaan pendidikan, pembelajaran berasaskan ICT, kurikulum, latihan perguruan dan program yang membuka laluan kepada mewujudkan peluang pekerjaan serta pembangunan sosial dan ekonomi.

Tema persidangan ini ialah 'Pendidikan Berkualiti bagi Kesaksamaan Pembangunan: Prestasi, Laluan dan Produktiviti'.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Muhyiddin Yassin , Nassau , Komanwel

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan