Tiada Tapisan Internet Tak Bermakna Boleh Menyalahi Undang-Undang - Ahmad Shabery

Diterbitkan: Khamis, 25 Jun 2015 2:41 PM

Ahmad Shabery Cheek

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jaminan kerajaan untuk tidak mengenakan penapisan terhadap internet bukan bermakna mana-mana individu boleh menyebarkan kandungan menyalahi undang-undang seperti merekrut pengganas atau mempromosi pornografi kanak-kanak, persidangan Dewan Negara diberitahu, Khamis.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, jaminan di bawah Rang Jaminan MSC itu sebaliknya menetapkan syarat bahawa tidak boleh melanggar mana-mana undang-undang sedia ada, tidak mengganggu gugat serta mengancam keharmonian dan keselamatan negara.

"Jaminan ini bertujuan untuk merealisasikan wawasan negara menjadi hab ICT utama serantau, di mana keperluan kandungan melalui internet telah diiktiraf sebagai faktor penting dalam memudahkan proses pertukaran maklumat, pencetus inovasi dan sebagai elemen utama dalam meningkatkan kualiti kerja dan kehidupan.

"Jika perbuatan dilakukan menyalahi undang-undang di dunia fizikal, perbuatan tersebut juga tidak dibenarkan dalam persekitaran maya," katanya ketika menjawab soalan Senator Dr Syed Husin Ali.

Syed Husin ingin tahu adakah kerajaan bercadang untuk memansuhkan jaminan tiada penapisan Koridor Raya Multimedia untuk memenuhi Dasar Keselamatan Siber Malaysia.

Memberikan contoh kes penyebaran gambar anak seorang pelakon komedi di sebuah laman web yang mempromosikan unsur pornografi kanak-kanak, Ahmad Shabery berkata perkara seumpama itu tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan tegas.

"Kalau kita benarkan perkara ini, kita mungkin akan dilihat dunia sebagai negara yang menyokong dan tidak bertindak dengan membiarkan anak-anak diperalatkan untuk tujuan pornografi, kita mesti bertindak tegas," katanya.

Menjawab soalan tambahan Syed Husin, beliau berkata setiap kesalahan yang dibuat dalam internet, bukan sahaja dipantau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), malah pelbagai agensi terlibat antaranya polis dan Bank Negara.

"SKMM memainkan peranan membantu siasatan mana-mana pihak khususnya dalam aspek forensik untuk mencari alamat IP, SKMM sentiasa memberi kerjasama," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kementerian bersama-sama SKMM sedang membuat semakan semula Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, bertujuan memastikan ia dapat dikuat kuasa dengan berkesan dan sesuai dengan tuntutan sosial, teknologi dan keselamatan semasa.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Ahmad Shabery Cheek , Dewan Negara , internet

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan