Kad Kredit Bayar Fi Pasport

Diterbitkan: Rabu, 24 Jun 2015 7:00 AM

Mustafa menunjukkan pasport antarabangsa Malaysia yang kini boleh dimohon menerusi kaedah pembayaran menggunakan kad kredit.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Selepas ini orang ramai tidak lagi perlu membawa wang tunai untuk menjelaskan fi pasport antarabangsa Malaysia kerana proses itu bakal melalui transformasi menerusi penggunaan kad kredit.

Pejabat pasport di Menara Ikhlas, Presint 3, Putrajaya pada Selasa menyaksikan pemohon pasport pertama menggunakan kad kredit pada pukul 4 petang.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, kaedah pembayaran menggunakan kad kredit itu bertujuan untuk memudahkan pemohon selain mengurangkan transaksi wang tunai di kaunter imigresen.

Menurutnya, ia dilaksanakan tanpa mengenakan sebarang caj tambahan bagi perkhidmatan permohonan pasport di jabatan itu.

“Bagaimanapun, pada peringkat awal kaedah pembayaran melalui kad kredit ini hanya dilaksanakan di pejabat pasport di Putrajaya sahaja.

“Ia merupakan fasa percubaan bagi memastikan kecekapan sistem ini dari segi verifikasi dengan pihak bank untuk setiap transaksi supaya dapat dilakukan secara teratur dan lancar,” katanya kepada mStar Online.


Mustafa berkata, tempoh sebulan ditetapkan sebagai percubaan untuk menguji keberkesanan sistem itu sebelum ia dapat diperluaskan ke semua pejabat imigresen termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara.

Beliau menambah, sejak Januari tahun ini, pihaknya mengeluarkan sebanyak 1.16 juta pasport.

Difahamkan, kira-kira dua juta pasport dikeluarkan secara purata setiap tahun.

Ditanya adakah kaedah pembayaran baharu akan meningkatkan bilangan pengeluaran pasport, Mustafa berkata: “Ia lebih kepada memudahkan pengguna kerana kebiasaannya permohonan pasport dibuat apabila rakyat Malaysia mahu ke luar negara dan secara bermusim seperti musim haji dan cuti sekolah."

Beliau bagaimanapun berkata, ia akan menyaksikan peralihan penggunaan wang tunai kepada kad kredit bagi permohonan pasport di kaunter imigresen.

Januari lalu, Jabatan Imigresen mengumumkan bahawa bayaran untuk permohonan pasport antarabangsa Malaysia bagi warga berumur 13 hingga 59 tahun untuk tempoh lima tahun diturunkan daripada RM300 kepada RM200.

Kadar bayaran bagi pemohon berumur 60 tahun ke atas dan 12 tahun ke bawah pula serta jemaah haji termasuk pelajar yang mengikuti program ijazah di luar negara bagi pemohon berumur 21 dan ke bawah ialah RM100.

Permohonan pasport bagi Orang Kelainan Upaya (OKU) kekal percuma.

Sehubungan itu, semua permohonan pasport antarabangsa Malaysia untuk tempoh dua tahun dengan bayaran RM100 dimansuhkan.

Tags / Kata Kunci: Jabatan Imigresen , Mustafa Ibrahim , pasport

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan