Pelajar Hostel UKM Sengsara Masalah Air

Diterbitkan: Rabu, 24 Jun 2015 5:54 PM

Masalah bekalan air yang berterusan dihadapi penuntut UKM, Bangi.

(Ubah saiz teks)

BANGI: Beribu pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang tinggal di beberapa hostel milik universiti tersebut hidup di dalam kesengsaraan ekoran masalah bekalan air yang kerap kali terputus.

Pada hari-hari tertentu, bekalan air bersih terputus selama beberapa hari dan ini menjejas kehidupan seharian mereka.

Paling teruk ialah pada bulan Mac lalu apabila bekalan air terputus sepanjang bulan.

Menurut laporan StarMetro, sisipan akhbar the Star, isu bekalan air terputus ini bukanlah isu baru sebaliknya telah berlanjutan sejak tiga tahun yang lalu.

Salah seorang pelajar UKM, Siti Khafiza Khalid, 22, berkata, biasanya bekalan air akan terjejas apabila permulaan dan di akhir semester.

Menurut pelajar itu, pihak pengurusan UKM ada menempatkan tangki sementara pada setiap asrama kolej yang terjejas tetapi ia amat menyusahkan mereka kerana terpaksa menadah air menggunakan besen besar dan selepas itu menggunakannya di bilik air tingkat bawah asrama.

Pengarah Jabatan Penyelenggaran Bangunan UKM, Dr Abdul Khalim Abdul Rashid menunjukkan paip yang rosak di UKM, Bangi.

"Ia sangat tidak selesa tapi kami tidak mempunyai banyak pilihan," ujarnya lagi.

Seorang lagi pelajar, Izatul Khairuddin, 21, berkata, isu bekalan air ini berlaku pada setiap semester.

"Setiap kolej boleh dikatakan berhadapan dengan masalah mendapatkan bekalan air yang mencukupi," katanya.

Tangki air yang boleh memuatkan sehingga 5,000 gelen air untuk kegunaan penghuni Kolej Ungku Umar UKM, Bangi.

Menurut Presiden Persatuan Mahasiswa UKM, Muhammad Sallehudin Khalid, 23, masalah bekalan air yang mencukupi adalah masalah lama yang tidak selesai di asrama universiti berkenaan.

Awal tahun ini, katanya, masalah itu bertambah buruk.

"Kami menerima begitu banyak rungutan daripada para pelajar khususnya daripada pelajar wanita yang terpaksa ke hostel yang tidak berhadapan dengan masalah air untuk mandi dan membersihkan diri," kata Muhammad lagi.

Pelajar lelaki yang mempunyai motosikal lebih mudah bergerak ke sana-sini untuk mendapatkan bekalan air bersih tetapi pelajar wanita tidak mempunyai kelebihan itu, jelas Muhammad.

Adalah difahamkan UKM perlu menukar paip air mereka yang sudah pun berusia 30 tahun tetapi kosnya terlalu mahal iaitu sekitar RM5 juta.

Namun pihak pentadbiran UKM berkata paip air lama bukanlah isunya tetapi menyalahkan Syabas sebagai punca kepada masalah ini.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat UKM, Profesor Datin Dr Norizan Razak berkata, mereka sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang terjejas ini.


Tags / Kata Kunci: UKM , Siti Khafiza Khalid , asrama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan