Pasukan Mencari Dan Menyelamat Gunung Pertama Ditubuhkan

Diterbitkan: Selasa, 23 Jun 2015 12:30 PM

Sebahagian daripada malim gunung gembira selepas menerima sijil lantikan sebagai anggota pasukan mencari dan menyelamat di gunung (MOSAR), Isnin. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

RANAU: Satu pasukan bantuan mencari dan menyelamat di gunung (MOSAR) yang berpusat di Balai Bomba Ranau ditubuhkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah sebagai persedian menghadapi sebarang kecemasan dan bencana seperti gempa bumi yang berlaku di daerah ini pada 5 Jun lepas.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan ketika melancarkan pasukan itu hari ini berkata, anggota MOSAR yang akan dipertanggungjawabkan dalam aspek kecemasan dan keselamatan di Gunung Kinabalu itu, dipilih dalam kalangan malim gunung yang berpengalaman dan berkemahiran.

"Pada peringkat awal penubuhan MOSAR, hari ini sebanyak 20 malim gunung telah dilantik sebagai Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dan dijangka jumlah PBB yang dilantik adalah sehingga 100 orang.

"Proses pemilihan PBB itu telah mula dilaksanakan pada Jumaat lepas dan malim gunung yang berjaya dilantik sebagai PBB akan dipanggil untuk menjalani latihan asas selama 10 hari, yang mana semua kos perbelanjaan akan ditanggung oleh kerajaan," katanya.

Bagi mewujudkan pasukan MOSAR, Abdul Rahman berkata, sebelum ini pihaknya telah mengarahkan pihak bomba dengan kerjasama persatuan malim gunung dan Taman-Taman Sabah untuk mewujudkan satu pasukan yang lebih mantap.

"Dengan pendekatan itu kita telah membuat keputusan untuk mewujudkan pasukan MOSAR dengan memilih malim-malim gunung yang berdaftar dengan Taman-Taman Sabah untuk menjadi PBB, kerana mereka (malim gunung) memang terkenal dengan keupayaan melakukan kerja di altitud tinggi dan mempunyai kekuatan fizikal yang baik serta mahir dengan laluan serta risiko semasa.

"Pasukan MOSAR di kalangan malim gunung ini membolehkan situasi kecemasan dikendalikan dengan cepat dan "masa respons" yang singkat memberi peluang untuk lebih kejayaan dikecapi dalam operasi mencari dan menyelamat," katanya.

Beliau berkata konsep gerak kerja serta penjadualan tugas akan disusun sebaik mungkin bagi memastikan terdapat anggota PBB yang akan berada di sepanjang laluan pendaki dan tempat rehat di Gunung Kinabalu dan apabila berlaku kecemasan atau bencana, PBB berkenaan yang akan diaktifkan untuk menangani bencana berkenaan sementara menunggu pasukan bantuan.

"PBB itu akan dibekalkan dengan peralatan alat perlindungan diri yang bersesuaian serta peralatan menyelamat seperti tandu, tali penyelamat dan beberapa lagi peralatan lain untuk tujuan mencari dan menyelamat," kata beliau.

Abdul Rahman juga berkata, PBB yang bertugas dan menghadiri operasi akan dibayar elaun sebanyak RM6 sejam dan dijangka anggota PBB yang menjalani latihan secara bersepadu dengan kerja hakiki pemaliman akan mampu meraih elaun PBB sebanyak RM300 hingga RM400 sebulan, sekali gus menambah lagi pendapatan mereka sebagai malim gunung.

Sehubungan itu, beliau berharap kewujudan PBB yang akan bertanggungjawab sebagai MOSAR itu dapat menambah lagi keyakinan para pendaki dan pelancong tentang aspek keselamatan di Gunung Kinabalu, sekali gus memberi imej yang baik bukan sahaja kepada PBB tetapi kepada Taman-Taman Sabah, negeri Sabah dan Malaysia.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata bomba Sabah akan menerima dua lagi helikopter dalam masa terdekat, bagi memantapkan lagi segala operasi pasukan bomba Sabah.

"Penambahan dua helikopter itu menjadi bomba Sabah kini memiliki empat aset berkenaan. Penambahan aset itu sangat bertepatan kerana keadaan bentuk muka bumi di Sabah yang sangant mencabar. Oleh itu kita berharap dengan adanya dua helikopter itu akan memantapkan lagi segala operasi yang dirancang oleh bomba Sabah," katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada majlis itu, telah menyumbangkan wang tunai sebanyak RM32,000 kepada persatuan malim gunung dan persatuan teksi Gunung Kinabalu.

Abdul Rahman berkata sumbangan itu adalah didermakan oleh semua warga kementeriannya untuk persatuan malim gunung dan persatuan teksi Gunung Kinabalu yang terjejas berikutan gempa bumi yang melanda daerah ini baru-baru ini.

"Kita berharap sumbangan itu dapat membantu meringankan beban mereka yang hilang punca pencarian kerana Taman Kinabalu kini ditutup sementara," katanya.

Turut hadir dalam majlis itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Nordin Pauzi.

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan