Najib Bertanggungjawab - Tajuddin

Diterbitkan: Selasa, 23 Jun 2015 10:17 AM

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan beliau bertanggungjawab apabila terus kekal sebagai Perdana Menteri bagi menyelesaikan masalah semasa di negara ini, kata Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Najib enggan berundur kerana takut adalah satu dakwaan yang tidak betul.

"Beliau tidak takut. Beliau kekal kerana bersedia untuk berdepan masalah dan mencari penyelesaian," kata Tajuddin, yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Tajuddin berkata Najib telah mengakui bahawa terdapat isu berkaitan 1MDB serta pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"Najib mahu kekal kerana ingin menyelesaikan masalah ini, beliau mahu bertanggungjawab, hanya pemimpin tidak bertanggungjawab yang akan berundur.

"Beliau telah mengumumkan bahawa beliau akan menangani semua masalah ini, jadi berikannya masa."

Dalam klip video yang diambil semasa mesyuarat tertutup dengan kumpulan bukan kerajaan minggu lalu, Dr Mahathir mendakwa Najib enggan melepaskan jawatan kerana takut dengan kemungkinan menghadapi tuduhan jenayah.

Mengenai dakwaan bekas Perdana Menteri sebelum ini bahawa badan-badan penguatkuasa takut untuk menyiasat Najib, Tajuddin berkata ia 'tidak masuk akal'.

"Pada masa ini tidak mudah untuk apa-apa kesalahan dapat disembunyikan."


Tajuddin berkata rakyat perlu sedar bahawa Malaysia berdepan lebih banyak masalah sepanjang tempoh perkhidmatan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, termasuk kegawatan ekonomi pada 1980-an dan 1997 serta kontroversi seperti Perwaja Steel dan rancangan pembinaan Menara Berkembar.

"Dr Mahathir terus kekal dan menyelesaikan semua masalah satu demi satu dan sebagai hasilnya, apa yang kita ada hari ini adalah legasi beliau.

"Berbanding dengan Dr Mahathir yang berkhidmat sebagai PM selama 22 tahun, Najib hanya memegang jawatannya selama enam tahun, jadi apa yang anda jangkakan?" tanya beliau.

Mengenai laporan Wall Street Journal mendakwa bahawa wang 1MDB telah digunakan untuk membiayai perbelanjaan Barisan Nasional pada pilihan raya umum lepas, Tajuddin berkata ia tidak memberikan sebarang bukti yang menunjukkan wang yang digunakan semasa pilihan raya datang dari dana 1MDB.

"Adakah mereka juga hadir dalam pilihan raya umum dan adakah mereka mengira berapa banyak wang yang didakwa dibelanjakan?

"Ini tidak adil kerana ia adalah tuduhan liar," kata Tajuddin.

Beliau berkata BN tidak terdesak untuk mendapatkan bantuan 1MDB, dan telah berjaya melalui 12 pilihan raya umum sebelum dana itu ditubuhkan.

Tajuddin berkata pihak yang difitnah oleh laporan itu boleh menyaman penerbitan itu jika mereka mendapati dakwaan itu boleh memudaratkan.

Tags / Kata Kunci: 1MDB , GST , Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan