Kerajaan Mahu Kaji Semula Perjanjian Keselamatan Di Sempadan

Diterbitkan: Isnin, 22 Jun 2015 4:01 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat mengkaji semula perjanjian keselamatan yang telah dimeterai dengan negara-negara yang bersempadan dengan Malaysia khususnya Thailand, ekoran pembongkaran isu pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perjanjian misalnya, 'General Border Committee Meeting Malaysia-Thailand' perlu dikaji semula bagi meningkatkan keupayaan kawalan keselamatan di sempadan kedua-dua negara.

"Kajian semula ini perlu diberi keutamaan kerana jika dilihat khemah sementara yang dibina di sempadan (Wang Kelian) itu tidak dapat diakses dan dijejaki oleh pihak berkuasa Malaysia.

"Ia disebabkan kecuraman dan kawasan yang tidak munasabah oleh hukum manusia untuk sampai dari sempadan Malaysia, sebalikya ia lebih hampir dan boleh dimasuki dari Thailand," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, di sini, Isnin.

Beliau bagaimanapun berkata kerajaan berterima kasih atas kerjasama yang diberikan pihak berkuasa Thailand sehingga permasalahan itu dapat dirungkai.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga akan meneliti semula peranan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) yang terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen.

Beliau berkata, kertas cadangan mengenai perkara berkenaan sedang disediakan kementeriannya dan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri secepat mungkin.

Dalam perkembangan lain, katanya kerajaan juga sedang bekerjasama dengan kerajaan Bangladesh dan Myanmar untuk mengekstradisi rakyat Malaysia, yang terlibat dengan pemerdagangan manusia, yang bersembunyi di negara itu untuk ditahan dan diadili di negara ini.

"Tangkapan dah dibuat untuk warganegara Malaysia dan Thailand pun sudah tangkap warganegara mereka. Kami akan ambil tindakan undang-undang dan mendakwa mereka di mahkamah," katanya.

Mengenai 106 jenazah mangsa pemerdagangan manusia, yang ditempatkan di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah untuk proses autopsi, beliau berkata hasil kajian forensik PDRM mendapati terdapat empat unsur utama yang menyebabkan kematian iaitu penyakit, kebuluran, penyeksaan dan berkemungkinan dibunuh.

"Mayat pertama yang kami temui adalah merupakan rangka manusia di dalam kurungan yang dibiarkan sehingga kering. Inilah antara unsur penyeksaan yang dikenal pasti," katanya.

Pada Mei lepas, negara digemparkan dengan penemuan 139 kubur yang dikesan pihak berkuasa di 28 kem transit yang dibina oleh sindiket pemerdagangan manusia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian.

Tags / Kata Kunci: Thailand , Indonesia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan