Pemandu Teksi, Penarik Beca Dibantu Dalam Program 'Imarah Ramadan'

Diterbitkan: Sabtu, 20 Jun 2015 7:00 AM

Pengarah Pusat Media Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Dr Nik Roskiman Abdul Samad (dua,kiri) dan Presiden Islamic Aid Malaysia (IAM) Zawahir Abdullah (tiga,kiri) menunjukkan pelekat kempen 'Imarah Ramadan-Bantulah Mereka Berbuka Puasa' untuk dipamerkan pada cermin teksi di Program Kemanusiaan 2015-Imarah Ramadan 1436/2015 di IKIM. Foto BERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Nasib pemandu teksi dan penarik beca mendapat perhatian dalam program 'Imarah Ramadan-Bantulah Mereka Berbuka Puasa' anjuran kali keempat Islamic Aid Malaysia (IAM) dan Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (Radio IKIMfm) tahun ini. 

Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, ia merupakan pembaharuan yang dibuat dalam program itu dengan cara meringankan beban golongan berkenaan menerusi pemberian sumbangan keperluan makanan asas kepada mereka. 

"Selalunya orang selalu ingat golongan fakir miskin, ibu tunggal dan anak yatim sahaja dan terlupa akan nasib pemandu teksi dan penarik beca ini. 

"Dengan kos hidup yang tinggi sekarang pemandu teksi terpaksa keluar sebelum subuh balik malam untuk mencari rezeki sebab mereka perlu bayar sewa bulanan teksi," katanya kepada pemberita selepas program kemanusiaan 'Imarah Ramadan' 2015 di bangunan IKIM di sini, Jumaat.

Beliau berkata, bagaimanapun fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim dan golongan kurang upaya tetap akan menerima sumbangan daripada program itu. 

Katanya, kira-kira 2,000 penerima di Kuala Lumpur (Lembah Klang), Perak, Melaka dan Kelantan akan mendapat manfaat menerusi pelaksanaan program itu tahun ini.

Dalam pada itu, Zawahir berkata IAM juga membina 46 buah rumah untuk mangsa banjir di Kelantan meliputi 31 buah rumah di Gua Musang dan 15 lagi di Kuala Krai yang dibiayai Etika Takaful Berhad. 

Pada majlis itu, seramai 50 pemandu teksi kurang berkemampuan dari sekitar Lembah Klang menerima bantuan pek makanan 'Imarah Ramadan-Bantulah Mereka Berbuka Puasa'.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan