Pemerdagangan Manusia: Zahid Sahkan Beberapa Rakyat Malaysia Ditahan

Diterbitkan: Sabtu, 20 Jun 2015 10:03 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan beberapa tangkapan terhadap rakyat Malaysia yang disyaki terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis telah dilakukan.

"Bukan sahaja waran tangkap tapi tangkapan juga telah dilakukan," katanya kepada pemberita sebelum majlis berbuka puasa bersama 200 anak yatim dari kawasan Parlimen Bagan Datoh di Kompleks Beli-Belah Sogo pada Sabtu.

Beliau ditanya sama ada waran tangkap telah dikeluarkan terhadap rakyat Malaysia yang disyaki terlibat dalam sindiket itu yang terbongkar selepas penemuan kem tahanan di Wang Kelian, yang dipercayai menjadi lokasi mengurung pelarian Rohingya dan pendatang dari Bangladesh.

Beliau bagaimanapun enggan menyebut jumlah sebenar waran tangkap yang telah dikeluarkan.

"Tak perlu sebut jumlah, tetapi ia satu jumlah munasabah mengikut laporan dan siasatan yang kita lakukan," katanya. -

Pada Mei lepas negara digemparkan dengan penemuan 139 kubur yang dikesan pihak berkuasa di 28 kem transit yang dibina oleh sindiket pemerdagangan manusia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian.

Setakat ini, 106 mayat dilapor telah dijumpai.

Sebelum ini, Ahmad Zahid mengumumkan bahawa beberapa dalang sindiket telah diserahkan pihak berkuasa Thailand kepada Malaysia.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata kerajaan kini sedang dalam proses mengekstradisi suspek utama sindiket berkenaan yang dikenali sebagai 'Yassin' yang telah ditahan pihak berkuasa Thailand.

"Ekstradisi sudah dijalankan dan sedang diusahakan. Kita akan lakukan pendakwaan apabila Yassin dibawa ke mari," katanya.

Tags / Kata Kunci: Pemerdagangan manusia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan