Masalah Bekalan Air Bersih Di Ranau Berakhir Minggu Depan - Ongkili

Diterbitkan: Jumaat, 19 Jun 2015 6:32 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Masalah bekalan air bersih dan terawat yang dialami penduduk daerah Ranau, Sabah susulan gempa bumi pada 5 Jun lalu bakal diatasi selewat-lewatnya minggu depan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan menghantar sebuah unit rawatan air mudah alih ke Ranau pada 21 Jun ini dan dijangka tiba dalam masa enam hari. 

Katanya, unit rawatan air mudah alih itu mampu membekalkan sehingga satu juta liter sehari (JLH) air bersih dan terawat untuk kegunaan penduduk di daerah Ranau. 

"Unit rawatan air mudah alih itu akan dibawa ke Sabah dengan menaiki kapal dan dijangka tiba di negeri tersebut sekurang-kurangnya enam hari bergantung kepada pemeriksaan kastam," katanya pada majlis penyerahan sumbangan kepada Persatuan Malim Gunung Kinabalu di sini, Jumaat.

Ongkili berkata, Loji Rawatan Air Kimolohing yang membekalkan 60 peratus bekalan air di Ranau berjaya dipulihkan dan mula membekalkan lapan JLH air kepada penduduk sekitar Ranau mulai Khamis.

Selain itu, katanya, Jabatan Bekalan Air Labuan turut menghantar dua lori tangki air yang masing-masing berkapasiti 8,000 dan 9,000 liter ke Ranau pada Khamis.

Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Ritcher yang melanda Ranau 5 Jun lalu mengakibatkan bekalan air di Ranau terjejas akibat sumber muka sauk di Sg. Liwagu dipenuhi sampah sarap yang kebanyakannya terdiri daripada kayu-kayan dan batang pokok. 

Sejumlah 25,000 akaun pengguna atau 100,000 penduduk terjejas.  

Sementara itu, Ongkili berkata, pihaknya melalui Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sentiasa bersiap sedia menghadapi kemungkinan gangguan bekalan elektrik termasuk menyediakan generator mudah alih di pusat-pusat pemindahan. 

Pada majlis itu, Ongkili menerima sumbangan RM50,000 daripada tiga syarikat untuk disalurkan kepada Persatuan Malim Gunung Kinabalu.

Bencana alam yang melanda Ranau turut menjejaskan 'periuk nasi' 250 Malim Gunung kerana pihak berkuasa terpaksa menghentikan sementara aktiviti pendakian untuk tujuan keselamatan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan