Tindakan Palanivel Mohon Semakan Kehakiman Langgar Perlembagaan MIC - Saravanan

Diterbitkan: Khamis, 18 Jun 2015 10:03 PM

M Saravanan

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tindakan Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel memohon semakan kehakiman terhadap arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) di mahkamah tetap dianggap melanggar perlembagaan MIC, kata Naib Presiden parti Datuk M. Saravanan.

Beliau berkata, ini adalah kerana tindakan yang diambil terhadap RoS adalah berkaitan dengan MIC, dan ia telah melanggar Artikel 91 yang antara lain menyebut keahlian mereka akan hilang 'ipso facto' jika membawa hal parti ke mahkamah.

"Artikel 91 perlembagaan parti menyatakan mana-mana ahli MIC yang pergi ke mahkamah tanpa kebenaran Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), maka keahlian mereka akan hilang secara automatik.

"Mereka pergi ke mahkamah tanpa berbincang dengan kita untuk menentang keputusan RoS dan mereka juga tidak merujuk kepada CWC Sementara 2009, maka mereka bersalah dan hilang keahlian," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat MIC di sini, Khamis.

Selasa lepas Palanivel tampil menegaskan beliau masih Presiden MIC dan menafikan dakwaan CWC Sementara 2009 bahawa beliau telah hilang keanggotaannya secara automatik kerana peruntukan Perlembagaan MIC dengan apa cara pun tidak menjejaskan keanggotaan ahli yang mengambil prosiding undang-undang terhadap pihak ketiga.

Mahkamah Tinggi pada Isnin lepas telah menolak dua permohonan semakan kehakiman oleh Palanivel dan empat individu lain iaitu naib presiden Datuk S. Sothinathan dan Datuk S. Balakrishnan, bekas setiausaha agung A.Prakash Rao dan anggota CWC A. K. Ramalingam untuk membatalkan 'arahan' RoS supaya diadakan pemilihan semula bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan ahli CWC.

Saravanan, yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan turut menjelaskan CWC Sementara 2009 tidak mempunyai kuasa untuk memecat Palanivel atau melantik Timbalan Presiden Datuk Seri Dr S. Subramaniam sebagai pemangku presiden parti seperti yang dilaporkan oleh media baru-baru ini.

"Kami (CWC Sementara) tidak mempunyai kuasa untuk memecat presiden atau melantik pemangku presiden. Bila presiden tidak lagi ahli MIC dengan itu CWC 2009 tidak boleh berperanan tanpa ketua, yang terbaik ialah timbalan presiden menjadi pemangku presiden.

"Subramaniam tidak mengumumkan beliau ialah pemangku presiden. CWC Sementara 2009 dalam mesyuarat Selasa lepas putuskan presiden telah tiada maka timbalan akan jadi (pemangku) presiden," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata MIC masih lagi boleh menerima Palanivel dan empat lagi yang membawa kes ke mahkamah sekiranya mereka menghantar semula permohonan untuk menjadi ahli.

"Kalau mereka masih setia dengan MIC dan sudah bertaubat mereka masih boleh sertai MIC, tiada halangan. Kami dalam keluarga (parti) yang sama," katanya.

Dalam pada itu, Saravanan berkata CWC 2009 telah memutuskan pencalonan bagi pemilihan semula MIC akan dijalankan pada 10 hingga 12 Julai depan dan proses pemilihan di peringkat cawangan akan berlangsung pada 17 hingga 19 Julai serentak di seluruh negara.

"Pemilihan presiden akan diadakan pada Ogos, manakala pemilihan peringkat bahagian pula pada September dan akhir sekali pemilihan pusat akan berlangsung pada Oktober," katanya.

Beliau juga berkata satu perhimpunan untuk memberi penjelasan kepada semua ketua cawangan MIC akan diadakan dengan Palanivel mengadakan pertemuan pada hari Sabtu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra dan Subramaniam pada Ahad ini.

Sementara itu, Sothinathan dalam kenyataan hari ini menegaskan semakan kehakiman dipohon oleh mereka tidak bercanggah dengan perlembagaan kerana "prosiding semakan kehakiman terhadap Pendaftar Pertubuhan bukan prosiding mahkamah diambil oleh kami sebagai anggota terhadap keputusan dibuat CWC berhubung hak, kewajipan, tugas dan hak istimewa kami sebagai ahli MIC.

"Oleh itu, Artikel 91 Perlembagaan MIC tidak terpakai dan Dr Subramaniam dan kumpulannya telah tersalah tafsir apabila bergantung kepadanya," katanya.

Katanya, Artikel 91 jelas menunjukkan bahawa kami - Palanivel, Balakrishnan, dirinya, Prakash Rao dan Ramalingam - "masih mengekalkan keahlian kami dalam MIC dan semua dakwaan berhubung perkara berkaitan adalah tidak benar."-- Bernama



Tags / Kata Kunci: MIC , Palanivel , Perlembagaan , Saravanan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan