Jangan Heret Pihak Istana Dalam Krisis Pakatan - Azmin

Diterbitkan: Khamis, 18 Jun 2015 8:41 PM

Azmin Ali.
(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Azmin Ali meminta supaya pihak istana tidak diheret dalam krisis semasa Pakatan Rakyat di negeri itu.

"Saya menghormati institusi raja dan ia adalah satu janji untuk dipertahankan setiap masa," katanya di sini, Khamis.

Azmin ditanya mengenai pertemuannya dengan Sultan Selangor yang dilaporkan untuk memaklumkan keadaan di Selangor selepas Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan bahawa pakatan "tidak lagi berfungsi secara formal".

Azmin berkata, pertemuan beliau dengan Sultan pada Selasa lalu merupakan perkara biasa dan mereka membincangkan mengenai hal ehwal Selangor.

"Tiada keperluan untuk membincangkan perkara itu," katanya bagi mengulas sama ada perbincangan menyentuh krisis dalam Pakatan Rakyat.

Kerajaan negeri yang dipimpin oleh Azmin yang merupakan Timbalan Presiden PKR berhadapan dengan ketidaktentuan selepas sekutunya dalam Pakatan iaitu DAP dan PAS telah mengisytiharkan bahawa mereka telah memutuskan hubungan antara satu sama lain.

Beliau mengulangi kenyataan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak akan dibubarkan dan khabar angin seperti itu "tidak berasas".

Ditanya sekiranya terdapat pakatan baharu bagi menggantikan Pakatan Rakyat, Azmin sebaliknya mempersoalkan "kenapa orang mendesak untuk satu pakatan baharu dan mengatakan ia adalah semata-mata idea Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), yang bukan pun anggota Pakatan Rakyat."

Ditanya sekiranya berada janggal untuk bekerjasama dengan PAS dan DAP di Selangor, Azmin berkata, pendekatan duduk sama bagi membincangkan isu merupakan cara yang lebih baik untuk menyelesaikannya.

"Adalah lumrah berlaku masalah dalam mana-mana perhubungan seperti suami dan isteri, bapa dan anak, dan lain-lain.

"Kita perlu menyediakan kepimpinan. Bagaimana untuk kita menyelesaikan masalah ini adalah dengan kualiti kepimpinan.

"Seorang pemimpin mesti berani. Duduk, berbincang dan menghormati antara satu sama lain," tambahnya. 

Tags / Kata Kunci: Pakatan Rakyat , Azmin Ali

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan