Penghantaran Mangsa Pemerdagangan Manusia Bangladesh Pulang Selesai Sebelum Aidilfiri

Diterbitkan: Khamis, 18 Jun 2015 7:30 AM

Sebahagian warga Bangladesh yang ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Belantik.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Urusan penghantaran pulang mangsa pemerdagangan manusia warga Bangladesh ke negara asal akan diselesaikan sebelum Aidilfitri.

Menurut sumber, semua warga negara berkenaan beragama Islam dan kerajaan Malaysia dengan kerjasama Kedutaan Bangladesh akan berusaha menghantar mereka pulang secara berperingkat.

Katanya, kumpulan pertama 61 warga Bangladesh itu telah melalui urusan dokumentasi untuk pengusiran, manakala yang lain masih perlu melalui proses persediaan dokumentasi.

"Pengusiran mereka ini turut bergantung kepada danya tempat duduk bagi penerbangan ke Bangladesh," katanya kepada mStar Online.

Sebagai permulaan, 61 pendatang warga Bangladesh yang ditahan selepas mendarat di Langkawi awal bulan lalu akan dihantar pulang ke negara asal pada Khamis.

Mereka adalah sebahagian daripada 715 pendatang Bangladesh yang turut ditahan bersama lebih 400 warga Myanmar etnik Rohingya.

Tambah sumber itu lagi, kos penghantaran pulang  ditanggung Kedutaan Bangladesh dan urusan berkaitan turut melibatkan kerjasama Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Imigresen.

"Kesemua pendatang Bangladesh berkenaan ketika ini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Belantik di Kedah.

"Kumpulan pertama 61 orang ini akan dibawa menggunakan dua bas khas dari depot tahanan pada sebelah pagi untuk ke KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) dan mereka akan menaiki penerbangan pulang ke Bangladesh pada sebelah petang," katanya.

Seramai 1,158 pelarian Rohingya dan pendatang dari Bangladesh, termasuk wanita dan kanak-kanak, dilaporkan telah mendarat di Langkawi pada 10 Mei lalu.


Tags / Kata Kunci: Bangladesh , Langkawi , Belantik

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan