Anak Kapal MT Orkim Harmony Kirimkan Wang Untuk Belanja Ramadan Keluarga

Diterbitkan: Khamis, 18 Jun 2015 7:00 AM

Mohamad Adib yang hilang bersama MT Orkim Harmony sejak minggu lalu.

(Ubah saiz teks)

PENDANG: Seorang anak kapal tangki MT Orkim Harmony yang dilaporkan hilang Khamis lepas sempat menelefon dan mengirimkan wang kepada ibunya sehari sebelum kejadian itu.

Mohamad Adib Jamaludin, 22, dari Felda Sungai Tiang dekat sini juga turut memberitahu ibunya Marina Desa, 52, mengenai keadaan dirinya yang sihat dan sedang belayar, menurut abang mangsa, Mohd Izzat, 28.

Katanya, wang yang dimasukan ke dalam akaun ibunya adalah untuk perbelanjaan pada Ramadan dan ia merupakan gaji pertama adiknya selepas tiga bulan bekerja dengan syarikat kapal tangki itu.

Anak kelima dari tujuh beradik itu yang bertugas sebagai jurutera enjin kapal berkenaan juga sering berhubungan dengan anggota keluarga lain melalui aplikasi WhatsApp, katanya.

"Agak terkejut bila syarikat di mana adik saya bekerja menghubungi emak Jumaat lepas dan memaklumkan kejadian itu. Kami agak sedih tetapi kami tak putus harapan berdoa agar dia (Mohamad Adib) selamat," kata Mohd Izzat ketika ditemui, Rabu.

Mohd Izzat.

Menurutnya, kedua ibu bapanya kini berada di Kuala Lumpur selepas diminta hadir ke pejabat syarikat kapal tangki itu untuk diberi taklimat dan maklumat berkaitan nasib kesemua krew kapal terbabit.

Ahli keluarga dan jiran tetangga katanya, sering mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat memohon kesemua krew kapal tersebut berjaya pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

"Kami semua hendak tahu keadaan Mohamad Adib. Itu sahaja yang kami tunggu," katanya.

Katanya, sebelum ini adiknya hanya bekerja di Pulau Pinang dalam sektor perkapalan dan ini merupakan pelayaran pertama Mohamad Adib selepas lebih dua tahun bekerja dalam sektor itu.

"Memang dia tidak pernah berjauhan dengan ahli keluarga terutamanya menyambut Ramadan dan Aidilfitri. Kali ini kami amat sedih selepas dia hilang tanpa berita," katanya.

Kapal MT Orkim yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada 8.57 malam pada Khamis lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.

Kapal yang dimiliki oleh Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal termasuk 16 rakyat Melaysia. Anak kapal lain terdiri daripada rakyat Indonesia dan Myanmar.-- Bernama



Tags / Kata Kunci: Orkim Harmony , Ramadan , Felda Sungai Tiang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan