Terengganu Tidak Lagi Guna Khidmat Imam Luar Sepanjang Ramadan

Diterbitkan: Rabu, 17 Jun 2015 7:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu tidak akan menggunakan khidmat imam dari luar negeri dan luar negara sepanjang Ramadan ini di semua masjid seluruh negeri bagi memberi peluang kepada imam dan hafiz tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri Ghazali Taib berkata langkah berkenaan diambil bagi memberi peluang dan menggunakan kepakaran imam dan hafiz tempatan yang dilahirkan di negeri yang terkenal dengan jolokan negeri Anjung Ilmu.

"Kita sebenarnya peka dengan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang mana Tuanku bertitah supaya kita lebih banyak menggunakan hafiz dan imam yang ada di negeri ini dan tahun ini memang tak merancang dan tak ambil imam dari luar.

Malah, kita akan menghantar dua daripada imam kita ke Masjid Darul Iman di Sydney untuk mengimamkan jemaah di sana pada bulan Ramadan ini dan ini merupakan satu simbolik bagi negeri Terengganu Darul Iman yang mana kita meletakkan al-Quran dan akademik sebagai tunjang utama kita," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Graduasi dan Khatam al-Quran Sempena Majlis Haflu Al-Takrim Al-Sanawi ke-9, Institut Al-Quran Terengganu (IQT).

Ghazali berkata beliau sangat yakin dengan kewibawaan imam dan hafiz yang telah terlatih dan juga merupakan graduan dari beberapa institusi pengajian tinggi seperti IQT dan Sekolah Menengah Imtiaz yang dikendalikan oleh Yayasan Terengganu di beberapa daerah di negeri ini.

"Sebenarnya hafiz kita ramai dan pelajar keluaran Imtiaz dan IQT ini sebenarnya kita mampu letak di setiap masjid di seluruh negeri ini yang mana mereka memang terlatih dan fasih membaca al-Quran dan masyarakat seharusnya yakin dengan graduan yang telah terlatih ini dan sama-sama memberi teguran secara membina sekiranya ada kesilapan yang dilakukan oleh mereka," katanya.

Dalam pada itu Ghazali berkata kerajaan negeri dalam mesyuarat exco yang lalu merancang untuk memperkenalkan konsep pelancongan Ramadan di negeri ini untuk mengajak orang ramai menjalani ibadat puasa di negeri ini.

"Insya-Allah kita akan buat kempen dan promosi untuk mengalu-alukan pelancong luar untuk datang ke Terengganu melancong dan dalam masa sama berpuasa, bertarawikh dan beribadat di Terengganu.

Kita akan perbanyakkan program-program keagamaan yang menarik seperti kuliah dan bacaan al-Quran dan nanti saya akan minta pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (Maidam) Terengganu tetapkan jumlah masjid yang terlibat," katanya.

Pada majlis berkenaan sebanyak 300 graduan IQT menerima sijil masing-masing.--Bernama

Tags / Kata Kunci: Ramadan , Terengganu , Ghazali Taib

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan