Penalti RM1 Juta Diharap Atasi Masalah Kecurian Kabel Elektrik

Diterbitkan: Rabu, 17 Jun 2015 10:20 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hukuman denda maksimum RM1 juta yang disarankan di bawah Rang Undang-undang Bekalan Elektrik 2015 terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah mencuri atau mengganggu meter elektrik diharap dapat mengatasi masalah kecurian kabel elektrik yang sering berlaku.

Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) berkata saranan kadar denda yang tinggi itu juga diharap dapat memberi pengajaran kepada pesalah terbabit untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama.

"Kecurian kabel elektrik di pencawang adalah antara masalah besar dihadapi syarikat utiliti elektrik termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) sehingga terpaksa menanggung kerugian lebih berjuta ringgit saban tahun sejak 2004," katanya ketika membahaskan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat, Rabu.

Beliau turut menarik perhatian dengan memberi statistik tiga negeri mencatatkan nilai kerugian tertinggi iaitu Selangor (RM35 juta), diikuti Johor (RM35 juta) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, RM30 juta.

"Kes kecurian kabel elektrik ini membawa risiko kecederaan dan kematian kepada pelaku malah melibatkan kemungkinan terhadap orang lain yang mencetuskan  masalah itu," katanya.

Pindaan kepada Seksyen 37(3) itu bertujuan memperuntukkan penalti lebih berat iaitu sehingga RM1 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya bagi pengguna bukan domestik yang didapati bersalah melakukan kesalahan itu.

Pengguna domestik yang disabitkan kesalahan sama berdepan tindakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan berulang, denda sehingga RM5 juta atau pemenjaraan sehingga 10 tahun atau kedua-duanya dicadangkan kepada pengguna bukan domestik, manakala denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya dicadangkan bagi pengguna domestik.

Terdahulu, persidangan Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-undang Institusi Kewangan Pembangunan (Pindaan) 2015 yang dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

Ahmad, ketika menggulungkan rang undang-undang itu, berkata pindaan akta itu bagi memastikan institusi kewangan pembangunan (IKP) lebih kukuh untuk terus menyokong sektor strategik ekonomi.

"Akta Institusi Kewangan Pembangunan merupakan rangka kerja pengawal seliaan yang bertujuan untuk memperkasakan pengurusan IKP dalam memenuhi mandat sosio-ekonomi dengan lebih cekap dan berkesan seiring dengan perubahan landskap ekonomi dan kewangan," katanya.

Persidangan dewan bersambung Khamis.

Tags / Kata Kunci: penalti , RM1 juta , curi kabel

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan