Penjawat Awam Diingat Jaga Penampilan, Gaya Rambut

Diterbitkan: Rabu, 17 Jun 2015 6:16 PM

Shahidan Kassim

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penjawat awam muda diingatkan supaya menjaga penampilan diri dengan mematuhi kod berpakaian termasuk gaya rambut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ketua jabatan bertanggungjawab untuk memastikan pegawai-pegawai di bawah kendalian mereka mematuhi kod berkenaan.

"Terdapat sebilangan kecil pegawai muda yang gemar mendandan rambut mereka mengikut gaya terkini.

"Bagaimanapun keadaan ini masih terkawal dan mereka masih kelihatan kemas," katanya menjawab soalan  Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) di Dewan Rakyat, Rabu.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, 16 kapal tentera laut Amerika Syarikat (AS) dengan kuasa nuklear menggunakan laluan Selat Melaka sejak sedekad lalu.

"Sebahagian daripada jumlah tersebut merupakan kapal induk, manakala lapan lagi adalah kapal selam," katanya dalam jawapan bertulis kepada Liew Chin Tong (DAP-Kluang).

Hishammuddin menjelaskan, 547 kapal perang serta kapal-kapal milik 23 negara lain turut melalui perairan yang sama dalam tempoh tersebut.

Daripada jumlah tersebut, sembilan adalah kapal yang membawa pesawat, 12 kapal selam, tujuh kapal perang, 92 kapal pemusnah, 135 kapal peronda berkuasa tinggi, 29 kapal perang kecil, 98 kapal peronda dan 165 kapal sokongan.

Hishammuddin turut menerangkan, purata kapal tentera laut yang berlayar melalui Selat Melaka setiap tahun adalah sebanyak 55.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan