RM30.47 Juta Fi Perubatan Tidak Dikutip

Diterbitkan: Rabu, 17 Jun 2015 7:14 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Bayaran fi perubatan yang tidak dikutip dari tahun 2012 hingga 2014 berjumlah RM30.47 juta, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut kenyataan KKM hari ini, negeri yang mempunyai tunggakan bayaran perubatan hospital yang tinggi adalah Sabah, Selangor, Sarawak, Kuala Lumpur dan Johor yang menyumbangkan 75 peratus daripada tunggakan keseluruhan.

Bagi warganegara, katanya, sebahagian besar tunggakan melibatkan pesakit wad Kelas 3 yang tidak mampu membayar bil rawatan.

Bagi warga asing pula, tunggakan bayaran perubatan hospital yang tidak dapat dikutip disebabkan pendatang asing tanpa izin (PATI) datang mendapatkan rawatan di hospital KKM bagi kes-kes kecemasan untuk menyelamatkan nyawa mereka, kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, warga asing menyumbang sebanyak 58 peratus daripada tunggakan keseluruhan hasil fi perubatan itu.

Menurut KKM, tunggakan bayaran perubatan bagi pekerja asing yang dibenarkan bekerja di negara amat kecil kerana kerajaan memperkenalkan Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) pada 1 Jan 2011 yang mewajibkan pekerja asing dilindungi insurans sebelum mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

Pada masa ini, 1.8 juta pekerja warga asing telah berdaftar dalam SPIKPA, katanya.

Bagi memastikan tunggakan bayaran perubatan pesakit dikutip dengan sebaiknya, KKM telah melaksanakan pelbagai tindakan penambahbaikan.

Menurut kenyataan itu, KKM telah menyumbangkan kutipan sebanyak RM442 juta kepada hasil negara bagi tahun 2014 dan jumlah tunggakan hasil yang tidak dikutip hanyalah enam peratus daripada jumlah itu.

KKM juga akan menubuhkan satu pasukan petugas khas di peringkat kementerian bagi mengenal pasti, meneliti dan mengemukakan syor-syor penambahbaikan bagi membolehkan pengurusan hasil di kementerian diuruskan dengan cekap.

Tags / Kata Kunci: Fi Perubatan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan