Bung Moktar Didesak Mohon Maaf Akibat Kenyataan Bersifat Seksis

Diterbitkan: Rabu, 17 Jun 2015 4:17 PM

Sekumpulan wanita berkumpul di luar Parlimen mendesak Bung Mokhtar memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan bersifat seksis terhadap Zuraida.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kenyataan Datuk Bung Moktar Radin sekali lagi mencetus kemarahan apabila sekumpulan wanita mengadakan protes di luar kawasan Parlimen pada Rabu.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu menjadi tumpuan apabila mengeluarkan kenyataan bersifat seksis terhadap Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Sekumpulan anggota Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta beberapa lelaki dilihat memegang beberapa kain rentang mendesak Bung memohon maaf.

"Dia telah menghina wanita secara keseluruhannya.

"Ini bukan kali pertama dia menghina wanita. Dia perlu letak jawatan dan minta maaf," kata Ketua Wanita PKR Ampang, Salmah Ismail.

Bung dikatakan mengeluarkan kenyataan bersifat seksis itu terhadap Zuraida ketika sesi perbahasan Dewan Rakyat, minggu lalu.

Merujuk kepada gaya Zuraida berbahas pada 9 Jun itu, Bung dikatakan mengaitkannya dengan mengatakan suami Ahli Parlimen PKR itu tentunya akan takut jika situasi sama berlaku di rumah.

"Dia dengan lantang berkata apa yang dia mahu dan kemudian bersembunyi dalam Parlimen.

"Ia sesuatu yang memalukan kerana berlaku dalam sidang Dewan Rakyat, malah Speaker tidak berbuat apa-apa," kata Timbalan Ketua Wanita PKR Ampang, Haniza Talha.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang juga dilihat menyokong tindakan kumpulan pemprotes itu termasuk Zuraida dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

"Kami akan maklumkan kepada kaum wanita di Kinabatangan bagaimana dia memandang rendah terhadap golongan itu dan biar mereka tentukan sama ada masih mahukan dia sebagai Ahli Parlimen atau tidak," katanya.

Salmah berkata, kumpulan itu juga akan berkumpul di hadapan kediaman Bung bagi mendesaknya memohon maaf.

Protes itu bermula kira-kira pukul 10 pagi dan berakhir secara aman kira-kira sejam kemudian.



iklan

Kolumnis

iklan

Iklan