Masalah Bekalan Air Bersih Daerah Ranau Kritikal, Kata Masidi

Diterbitkan: Rabu, 17 Jun 2015 3:29 PM

Banjir lumpur mengakibatkan air sungai menjadi keruh di sekitar Kundasang yang terletak berdekata Gunung Kinabalu.

(Ubah saiz teks)

KUNDASANG: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun menyifatkan masalah bekalan air terawat dihadapi seluruh penduduk daerah Ranau pada masa ini adalah kritikal berikutan kegagalan kesemua loji rawatan air di daerah itu berfungsi.

Masidi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Karanaan berkata kegagalan loji berkenaan beroperasi adalah disebabkan kerosakan yang dialami serta empangan dilitupi kayu balak yang dihanyutkan banjir lumpur yang berlaku sejak Isnin lepas.

"Masalah bekalan air bersih di Ranau yang terputus, jika saya boleh katakan, berada dalam keadaan kritikal. Loji penapisan air sama sekali tidak boleh digunakan kerana rosak. Jadi bekalan air paip sudah tidak ada di Ranau," katanya kepada pemberita selepas melawat penduduk Kampung Mesilau yang dipindahkan ke Dewan Mini Kundasang di sini, Rabu.

Setakat tengahari tadi, terdapat 212 penduduk Kampung Mesilau masih berada di pusat pemindahan berkenaan selepas diarah berpindah oleh pihak berkuasa berikutan banjir lumpur di Sungai Mesilau 1 dan Sungai Mesilau 2 yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan mereka.

Berikutan keadaan itu kata Masidi, kebanyakan penduduk Ranau bergantung kepada air minuman dalam botol dan berharap orang ramai dan para dermawan terus membantu membekalkan air minuman dalam botol kepada penduduk yang terjejas.

"Sebagai langkah awal, semalam saya telah melancarkan rayuan derma air dalam botol air mineral dan Alhamdulillah mendapat sambutan yang baik. Saya lancarkan rayuan derma itu pada jam 9 malam dan dalam tempoh dua jam sahaja, kita telah menerima 3,360 karton minuman dalam botol," katanya.

Katanya sehingga kini sumbangan minuman dalam botol masih terus diterima dan petugas pejabat Dewan Undangan Negeri (Dun), anggota Umno dan sukarelawan yang lain telah diminta untuk menyelaraskan penerimaan dan pengedaran sumbangan berkenaan kepada penduduk kampung yang terjejas.

Mengenai penyelesaian jangka sederhana dan panjang masalah bekalan air itu, Masidi berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Pegawai Daerah Ranau petang ini di Pejabat Daerah Ranau.

Masidi bagaimanapun berkata bekalan air dari sumber graviti kepada penduduk Ranau masih berjalan seperti biasa sebagai sumber bekalan air harian.

Mengenai penduduk yang berada di pusat pemindahan sementara berkenaan, Masidi berkata bekalan keperluan harian seperti makanan dan minuman untuk mereka mencukupi manakala kemudahan bekalan air bersih pula disediakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Tentera Malaysia.--Bernama




Tags / Kata Kunci: Masidi Manjun , Ranau , air terawat

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan