Najib Berazam Teruskan Tradisi BN Bela Rakyat Terutama Di Luar Bandar

Diterbitkan: Selasa, 16 Jun 2015 5:06 PM

Najib bersama kepimpinan BN Sarawak pada penutup sambutan Hari Dayak Gawai, Selasa.

(Ubah saiz teks)

KAPIT: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berazam meneruskan tradisi Barisan Nasional (BN) membela semua rakyat di Malaysia melalui pelbagai dasar dengan memberi keutamaan tinggi kepada kawasan-kawasan di luar bandar.

Katanya, usaha itu akan dilakukan menerusi dasar-dasar kerajaan seperti Dasar Transformasi Negara dan juga Rancangan Malaysia Ke-11.

Beliau yang juga pengerusi BN berkata, perkara tersebut telah dibuktikan selama ini oleh parti itu yang membentuk kerajaan yang berdiri di atas prinsip keadilan dan kesaksamaan dan mewakili semua kelompok atau golongan di negara ini.

"Janji BN bukan janji kosong, BN bukan kerajaan yang janjikan impian yang tak jadi kenyataan ataupun tidak berpijak di bumi yang nyata. Pembangkang boleh janji macam-macam tetapi kita tahu bahawa bukti adalah di sebelah BN," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Ngiling Tikai Gawai Dayak Kapit 2015 (Majlis Penutup Sambutan Gawai Dayak Kapit 2015) di Rumah Panjang Bengau Andah, Nanga Sut, Balleh, Selasa.

Najib yang menyatakan rasa gembiranya menyambut Gawai di rumah panjang itu berkata, kehadiran beliau di situ adalah manifestasi hasratnya di dalam melaksanakan dasar-dasar yang inklusif yang merangkumi semua golongan kumpulan etnik dan sub-etnik di seluruh pelusuk negara.

"Saya cakap itu saya tidak mahu ia menjadi sebagai sebutan politik ataupun political rhetoric tetapi saya nak buktikan apa yang saya luahkan itu akan dikotakan dan dilaksanakan oleh kerajaan.

"Sebab itu saya datang ke tempat-tempat seperti ini sehingga orang Sarawak sebut termasuk Ketua Menteri (Tan Sri Adenan Satem) sebut sayalah Perdana Menteri yang paling banyak datang ke Sarawak dan melakukan pembangunan yang amat diperlukan oleh rakyat Sarawak," katanya.

Najib turut melahirkan rasa senang beliau melihat sambutan yang diberikan penduduk setempat kepada beliau di majlis itu di mana mereka membawa poster berbunyi "Dayak Sokong Najib".

"Ini memberi semangat kepada saya. Orang Dayak sokong saya dan orang Dayak tetap mempertahankan kepimpinan saya sebagai Perdana Menteri," katanya.

Beliau merasakan sokongan itu bukanlah sokongan yang dipaksa-paksa atau terpaksa tetapi kerana masyarakat Dayak dapat menilai sejak beliau menjadi Perdana Menteri, dasar-dasar yang dibawanya memang memberi manfaat kepada orang-orang Dayak walaupun tinggal di kawasan pedalaman seperti Kapit.

Menurut Najib, Sarawak adalah sebuah negeri yang penting dan mempunyai potensi yang amat besar untuk dibangunkan.

Empangan Bakun sahaja sudah boleh mengeluarkan kuasa elektrik hidro sebanyak 3,300 megawatt manakala Empangan Balleh dijangka mengeluarkan kuasa sebanyak 1,400 megawatt, katanya.

"Itu sebahagian sahaja daripada potensi negeri Sarawak. Oleh itu kita mesti melihat bagaimana potensi ini dapat kita realisasikan atau jadikan kenyataan supaya potensi ini bukan sahaja boleh memberi manfaat kepada orang Sarawak tetapi boleh menjana kekayaan untuk Malaysia," katanya.

Sementara itu, Najib mengumumkan peruntukan RM87 juta bagi membina "pelengkap yang dicari-cari" sepanjang 9.6km di antara Nanga Temalat di Song dan Nanga Ngemah, Kanowit bagi melengkapkan pembinaan jalan Sibu-Kapit.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM37juta bagi pembinaan jalan dari kawasan Sungai Banyau ke kawasan Sungai Mujong serta akan memberikan perhatian serius terhadap cadangan pembinaan sebuah pusat latihan vokasional bagi keperluan golongan muda di Bahagian Kapit.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: BN , Perdana Menteri , transformasi , Bengau Andah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan