Hanya Mesyuarat Malam Ini, Umum Pendirian Kemudian- PKR

Diterbitkan: Selasa, 16 Jun 2015 9:20 PM

PKR.
(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan terus 'kunci mulut' berhubung krisis hubungan antara rakan sekutunya selepas mengadakan mesyuarat biro politik malam Selasa.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan media sebelum mesyuarat biro politik melibatkan kepimpinan PKR dijadualkan berlangsung kira-kira pukul 9 malam ini.

Menurut kenyataan tersebut, pendirian PKR dalam isu itu akan diberitahu 'kemudian', tanpa memberikan satu tarikh atau hari yang tepat.

"Harap maklum bahawa sidang media tidak akan diadakan selepas mesyuarat Biro Politik KPR malam ini.

"Media akan dimaklumkan kemudian tentang pendirian parti dalam isu Pakatan Rakyat," menurut kenyataan tersebut yang dihantar oleh Unit Komunikasi PKR.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli enggan mengulas mengenai perkara itu namun mengakui mesyuarat pada malam Selasa akan membincangkan mengenai kemelut yang berlaku.

“Pimpinan PKR di semua peringkat tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan sehinggalah pendirian parti mengenai perkara ini dimuktamadkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mesyuarat pada malam ini dilihat penting dan menjadi penentu kepada hubungan antara ketiga-tiga parti (PKR, PAS dan DAP) dalam Pakatan Rakyat.

Ia berikutan tindakan DAP, melalui Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng yang mengumumkan pendirian parti bahawa Pakatan Rakyat sudah tidak wujud lagi.

Pengumuman itu dibuat pada pagi Selasa selepas DAP mengadakan mesyuarat pada malam Isnin.

Pendirian itu dibuat susulan tindakan pimpinan PAS yang diketuai Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bermula krisis Menteri Besar Selangor, isu hukum hudud dan keputusan Muktamar PAS untuk menolak kerjasama dengan DAP.

Keadaan bertambah rumit apabila Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, PAS akan mengadakan mesyuarat dengan DAP berhubung perkara ini dan tiada sebarang kesimpulan dapat dibuat pada masa ini.

Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz pula menepis kenyataan rakan sekutu gabungan pembangkang itu dan menganggapnya hanya sekadar 'pandangan' DAP.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan