Dewan Rakyat Lulus RMK11 Tanpa Pindaan - Berita Semasa | mStar

Dewan Rakyat Lulus RMK11 Tanpa Pindaan

Diterbitkan: Selasa, 16 Jun 2015 7:19 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat meluluskan usul Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) tanpa sebarang pindaan pada 12.54 pagi Selasa. 

Usul RMK11, yang memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM260 bilion, merupakan langkah transformasi terakhir dalam menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020, dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Mei lepas. 

Fokus rancangan pembangunan lima tahun negara itu telah dibahaskan selama lima hari bermula 25 Mei lepas sebelum sesi penggulungan oleh kementerian berlangsung selama tiga hari bermula 10 Jun. 

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, ketika mengggulung perbahasan usul itu, berkata Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji penambahbaikan Seksyen 375 Kanun Keseksaan bagi memperluaskan definisi rogol dengan mengambil kira perbuatan memasukkan objek atau organ-organ lain selain kemaluan.

Merujuk kes yang diputuskan mahkamah di Sibu, Sarawak, baru-baru ini, Nancy berkata pada masa sama, rundingan sedang dijalankan dengan pihak berkepentingan seperti pengamal perubatan dan kementerian berkaitan.

"(Pada ketika ini), skop Seksyen 375 Kanun Keseksaan tidak merangkumi tindakan kemasukan selain daripada organ kemaluan seperti jari," katanya.  

Mahkamah Rayuan di Sibu baru-baru ini membebaskan Bunya Jalong, 60, daripada dakwaan rogol anaknya berusia 14 tahun pada 2011 dengan alasan tiada penetrasi zakar berlaku, dan penetrasi jari dan benda asing tidak dianggap rogol.

Keputusan itu dibuat walaupun ujian DNA terhadap anak yang dilahirkan mangsa selepas kejadian itu sepadan dengan tertuduh. 

Nancy berkata secara amnya kesalahan jenayah rogol di bawah Seksyen 375 Kanun Keseksaan ditakrifkan sebagai persetubuhan atau 'sexual intercourse' secara paksaan atau tanpa persetujuan ke atas seorang wanita.

"Ini termasuk persetubuhan dengan wanita di mana persetujuan wanita tersebut untuk melakukan persetubuhan telah diberikan atas sebab ketakutan, penipuan, tanggapan salah atau tidak faham kesan persetujuan yang diberikan," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan beberapa anggota Parlimen yang meminta pindaan sewajarnya terhadap undang-undang seperti Seksyen 375 agar kes seumpama itu tidak berulang dan tidak terlepas.

Persidangan dewan bersambung Selasa.

-- BERNAMA
Tags / Kata Kunci: Dewan Rakyat , RMK11

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan