Tindakan Tegas Terhadap Anggota Hadir Mesyuarat CWC Esok

Diterbitkan: Isnin, 15 Jun 2015 11:46 PM

Datuk Seri G.Palanivel

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Presiden MIC, Datuk Seri G.Palanivel berkata beliau akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab memanggil dan menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu pada Selasa.

Beliau berkata ini selaras dengan kuasa-kuasa Presiden yang diberikan kepadanya di bawah Perkara 60.1 dan 61.1 Perlembagaan MIC.

"Telah dibawa kepada perhatian saya bahawa apa yang dipanggil Notis  Mesyuarat Tergempar 'CWC Interim MIC' bertarikh 15 Jun telah dikeluarkan kononnya oleh ahli-ahli CWC yang dipilih bagi penggal 2009-2013.

"Mesyuarat ditetapkan untuk esok pada 12.30 tengah hari. Oleh yang demikian, notis dan mana-mana mesyuarat yang diadakan selaras dengan notis tersebut adalah dianggap menyalahi undang-undang, tidak sah dan batal.

"Mesyuarat-mesyuarat lain seumpama itu yang dipanggil juga tidak sah," kata beliau dalam satu kenyataan di sini Isnin.

Pada Isnin, Mahkamah Tinggi menolak dua permohonan bagi semakan kehakiman yang difailkan oleh Palanivel dan empat pihak lain untuk membatalkan 'arahan' Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi mengadakan pemilihan semula parti itu.

Palanivel, yang akan memfailkan permohonan bagi perintah penangguhan pelaksanaan arahan RoS dalam ketiga-tiga surat, menegaskan bahawa apa-apa mesyuarat CWC, baik 2009 atau 2013, akan dipanggil oleh beliau selaku presiden parti.

"Saya akan mengarahkan setiausaha agung untuk mengeluarkan notis yang patut bagi mesyuarat CWC selaras dengan perlembagaan MIC," kata beliau.
Tags / Kata Kunci: Datuk Seri G.Palanivel , CWC

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan