Mempunyai Anak Bererti Bersedia Tanggung Beban Kewangan

Diterbitkan: Ahad, 14 Jun 2015 9:06 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Harga sebuah kereta Mercedes-Benz S-Class  dan sebuah rumah berkembar! Itulah harga yang perlu dibayar oleh ibu bapa bermula dari anak mereka masuk ke sekolah rendah hingga mereka melangkah masuk ke universiti, kata perancang kewangan.

Kos yang tinggi itu hanya melibatkan anak-anak yang dihantar ke sekolah dan universiti biasa.

Jurulatih pengurusan kewangan peribadi, Yap Ming Hui menganggarkan kos asuhan boleh menyamai harga gabungan sebuah kereta mewah dan hartanah di Lembah Klang.

"Senang-senang sahaja, RM1.5 juta," kata beliau sambil menambah pendidikan pengajian tinggi di universiti tempatan memerlukan kos antara RM30,000 dan RM150,000, bergantung kepada sama ada ia universiti swasta atau universiti awam.

Menyedari permintaan yang semakin meningkat untuk sekolah-sekolah swasta dan antarabangsa di kawasan bandar, beliau berkata pendidikan, terutama bagi ijazah luar negara, akan menjadi belanja terbesar dalam kewangan keluarga.

Beliau berkata di kawasan bandar, kos yang perlu ditanggung ibu bapa untuk seorang anak di sekolah rendah atau menengah adalah sekitar RM1,000 sebulan, tidak termasuk kos tambahan seperti telefon pintar, caj pakej data, aktiviti seperti kelas muzik, pengangkutan dan yuran pengajian.

"Sebelum ini, seorang guru tuisyen akan mengajar semua mata pelajaran tetapi hari ini, guru menawarkan khidmat mengikut kepakaran dan ibu bapa membayar lebih.

"Jadi, jika anda merancang untuk mempunyai tiga atau empat anak, lebih baik anda berfikir dua kali," kata beliau sambil menambah dengan kos hidup yang lebih tinggi, ia akan menelan belanja lebih dari RM100,000 untuk membesarkan anak sejak lahir hingga umur mereka 18 tahun.

Jurulatih kewangan Carol Yip mengingatkan ibu bapa untuk membesarkan anak-anak mereka sebagai "insurans" menjelang hari tua.

"Semakin ramai anak, semakin kurang simpanan untuk hari tua anda," kata beliau, memberi nasihat kepada ibu bapa untuk mengetahui lebih lanjut tentang anak-anak sebelum melabur.

"Sebelum anda membelanjakan semua wang untuk pendidikan mereka di sekolah antarabangsa atau luar negara, fahami karektor dan keperluan anak-anak terlebih dahulu.

"Seorang anak yang bijak akan menonjol walaupun di sekolah biasa."

Marziana Mohamed Alias, 33, ibu kepada dua anak, membelanjakan hampir RM1,500 setiap bulan untuk anak-anaknya, yang kedua-duanya mempunyai insurans kesihatan dan pendidikan.

"Ini adalah keperluan. Ia begitu mahal apabila anak-anak jatuh sakit, walaupun hanya demam."

Ibu yang bekerja ini masih menyusui anaknya dan dalam masa yang sama memberikan formula susu kepada anak perempuannya.

"Bayangkan berapa banyak lagi yang saya perlu belanjakan jika saya bergantung sepenuhnya kepada susu formula," katanya sambil menambah penjagaan anak merupakan belanja terbesar.

Marziana bersama suami dan dua anaknya.

Katanya, perbelanjaan adalah lebih kecil berbanding lima tahun lalu ketika anak lelakinya dilahirkan.

Ketika itu dia membayar RM290 untuk yuran taska tetapi kini taska yang sama menetapkan yuran RM400 untuk anak perempuannya yang berusia dua tahun.

"Belanjanya terlalu besar. Saya juga membayar RM300 untuk pengasuh."

Yuran prasekolah anaknya menelan kos RM500, dan ia tidak terhenti di situ sahaja.

Katanya dia terpaksa memperuntukkan sebanyak RM400 untuk membeli pakaian baharu setiap enam bulan.

K. Anbalagan, 52, berkata, tekanan kewangan adalah lebih besar jika anak-anak mempunyai keperluan khas.

Anak lelakinya yang berusia enam tahun dan menghidap autistik memerlukan RM1,800 sebulan untuk susu, vitamin dan kelas.

"Dia masih memakai lampin dan tidak lama lagi perlu menjalani terapi pertuturan," katanya.

Pembantu penyelaras Rumah KIDS P. Salvee berkata belanja paling minimum untuk membesarkan seorang anak adalah RM500.

Rumah yang menempatkan 40 kanak-kanak yang didera, anak-anak yatim dan diabaikan berusia antara enam dan 18 tahun di Lembah Klang itu membelanjakan purata RM800 kepada setiap kanak-kanak.

Kebanyakan penghuni di rumah itu adalah anak-anak ibu tunggal yang terlalu miskin untuk membesarkan mereka, katanya.

Ibu mereka dibenarkan untuk melawat dan juga mengambil anak-anak mereka kembali apabila kewangan mereka stabil.

"Ibu bapa ini sayangkan anak mereka, tetapi tidak mampu untuk menjaga anak-anak mereka. Ia menyayat hati.

"Makanan, yuran tuisyen dan bas sekolah bukannya murah. Dan, tuisyen adalah satu keperluan pada masa kini," katanya, sambil menambah rumah itu turut membayar untuk tuisyen penghuninya.

Salvee berkata, kerajaan perlu memberikan bantuan kewangan tahunan jika mahu menggalakkan ibu bapa mempunyai lebih ramai anak.

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan