MTC Sokong Pengecualian Visa Untuk Pelancong China

Diterbitkan: Sabtu, 13 Jun 2015 2:25 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) menyokong cadangan mempercepatkan pengecualian visa bagi pelancong China untuk menarik minat lebih ramai pelancong negara itu datang ke Malaysia.

Presiden MTC Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata langkah itu terbukti bermanfaat dalam meningkatkan jumlah pelancong China memandangkan Malaysia perlu bersaing dengan negara ASEAN lain seperti Indonesia dan Thailand yang sudah memansuhkan visa.

"Malaysia hanya mampu menarik minat sebanyak 350,000 pelancong sahaja dari China, manakala Thailand pula sudah merekodkan jumlah pelancong China yang tinggi dalam tempoh tiga bulan pertama pada tahun ini iaitu sebanyak dua juta.

"Kegembiraan warga Thailand pasti terserlah dengan keputusan positif ini dan dengan contoh sebegini juga kerajaan harus menitikberatkan perkara yang sama," katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu.

Rabu lepas, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menyegerakan cadangan pemansuhan visa pelancong China berikutan kemerosotan besar jumlah kemasukan pelancong dari negara itu ke Malaysia.

Mohamed Nazri berkata beliau telah membangkitkan isu itu dalam mesyuarat jemaah menteri dan KDN telah diarah menyediakan kertas Kabinet untuk membatalkan visa itu selama setahun sebagai tempoh percubaan.

Mohd Sharkar berkata walaupun hanya setahun tempoh percubaan, ia mampu memberi kesan positif dalam kedatangan pelancong asing sekaligus memberi pulangan baik kepada industri pelancongan negara.

Sekiranya pemansuhan visa itu tidak dapat dipercepatkan, MTC meminta kerajaan mempertimbangkan supaya cara memperoleh visa berkenaan dilakukan menerusi dalam talian memandangkan langkah sedia ada mengambil masa yang lama.

Dalam pada itu, Mohd Sharkar berkata kerajaan perlu mengembalikan semula minat dan keyakinan pelancong asing ke Malaysia khususnya selepas kejadian gempa bumi di Sabah, Jumaat lepas.

Katanya semua pihak dalam industri pelancongan negara juga harus bersatu-padu meningkatkan imej dan membaik pulih sektor pelancongan negara supaya setiap pulangan yang diterima boleh membantu pelbagai perniagaan terus bertapak dalam industri.

Tags / Kata Kunci: MTC , China , Visa

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan