Malim Gunung Dibantu Sepanjang Kerja Pemulihan Taman Kinabalu - PM

Diterbitkan: Sabtu, 13 Jun 2015 8:29 AM

Malim gunung yang menyertai misi operasi dan menyelamat (SAR) di Gunung Kinabalu.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malim gunung yang terjejas dengan kejadian gempa bumi di Sabah baru-baru ini, akan dibantu sepanjang tempoh tiga bulan kerja pemulihan Taman Kinabalu dilaksanakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ini kerana dianggarkan sebanyak 250 malim gunung akan terjejas pendapatan, susulan penutupan taman itu bagi kerja pemulihan.

"Dalam tempoh itu mereka tak akan mempunyai pendapatan dan mereka perlu diberi bantuan supaya dapat menyara keluarga mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di sini malam Jumaat.

Najib berkata selain penghargaan buat malim gunung, kerajaan juga bersetuju memberi penghargaan kepada semua anggota penyelamat dan petugas yang terlibat dalam misi menyelamat mangsa gempa bumi di Gunung Kinabalu.

"Ada juga mereka yang telah menyabung nyawa menyelamat mangsa-mangsa gempa bumi seperti anggota polis, tentera, bomba selain doktor yang melakukan pemeriksaan forensik dan sebagainya," katanya.

Najib berkata kerajaan juga pada masa sama akan membantu komuniti tempatan yang turut terjejas dengan kejadian itu.

"Kita juga ambil maklum selain mereka yang terkorban, komuniti tempatan di mana rumah-rumah mereka mengalami kerosakan perlu juga diberi bantuan sewajarnya," katanya. 

Terdahulu, Najib berkata mesyuarat turut bertafakur bagi memperingati mereka yang terkorban dalam kejadian gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang melanda daerah Ranau yang gegarannya turut dirasai di kawasan sekitarnya.

Gempa yang berlaku pada 7.15 pagi 5 Jun lepas itu, mengorbankan 18 orang, iaitu 14 pendaki Gunung Kinabalu dan empat malim gunung.  








iklan

Kolumnis

iklan

Iklan