Najib Enggan Letak Jawatan, Tak Akan Tunduk Desakan Tun M

Diterbitkan: Jumaat, 12 Jun 2015 9:47 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak enggan tunduk kepada serangan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menerusi kenyataan di blog najibrazak.com pada Jumaat, beliau berkata, motif di sebalik serangan bekas perdana menteri itu ialah untuk mendesak supaya beliau meletakkan jawatan, perkara yang sama berlaku kepada pendahulunya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya menolak kerana ia adalah tugas saya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang dipilih secara demokratik untuk memimpin negara ini dan melakukan apa yang saya percaya ia adalah betul untuk seluruh negara, bukan seorang individu. Saya tidak percaya rakyat mahu bekas perdana menteri memerintah melalui proksi," kata  Najib menerusi tulisan di blog itu.

Najib berkata, dakwaan Dr Mahathir bahawa RM42 bilion hilang dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan aset kewangan syarikat itu bernilai kira-kira RM16 bilion yang tidak bernilai telah mencetuskan krisis dan membangkitkan "kebimbangan yang tidak perlu".

Beliau memberi jaminan kepada rakyat bahawa kenyataan itu tidak benar.

"Kalau Tun berpegang kepada fakta dan menjelaskan bahawa RM42 bilion adalah hutang, maka ia menjadi cerita yang berbeza. Ini kerana sebuah syarikat biasanya mempunyai aset yang bernilai tinggi untuk menyediakan cagaran terhadap hutangnya.

"Dalam kes 1MDB, hutang RM42 bilion telah disokong oleh aset RM51 bilion setakat tahun kewangan berakhir 2014. Tetapi dia memilih untuk tidak mengendahkannya.

"Adalah salah bagi Tun untuk membuat dakwaan tidak benar mengenai RM42 bilion atau RM27 bilion apabila dia kemudiannya menukarkan angka itu kepada 'hilang'. Selepas 1MDB menjelaskan mengenai di manakah RM42 bilion itu dibelanjakan, Tun kemudiannya berkata, sebahagian daripada wang itu telah hilang. Peralihan dan hujahan mengenai nombor jelas menimbulkan keraguan terhadap dakwaannya," kata Najib.

Beliau menambah, disebabkan Dr Mahathir merupakan bekas ketua kerajaan, maka sentimen rakyat dan pasaran telah dipengaruhi secara negatif. Najib mengingatkan bekas perdana menteri itu bahawa beliau telah mengarahkan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk meneliti akaun 1MDB.

Najib turut berkata, sekiranya terdapat salah laku, beliau akan menegaskan penguatkuasaan undang-undang tanpa pengecualian.

Ketua Audit Negara memulakan pengauditan 1MDB pada 10 Mac lalu manakala PAC pula memulakan penyiasatannya terhadap syarikat itu pada 19 Mac.

"Jika Tun benar-benar mahu mendapatkan jawapan terhadap persoalan yang dia bangkitkan, dia hanya perlu menunggu siasatan oleh Ketua Audit Negara, Bank Negara dan PAC berakhir sebelum membuat sebarang kesimpulan. Bagaimanapun, dia tidak mempunyai kepercayaan terhadap institusi-institusi ini dan pihak berkuasa yang sewajarnya," katanya.

"Serangan Tun pada hakikatnya tidak terdorong oleh 1MDB, dia hanya menggunakan syarikat itu sebagai alasan untuk cuba menjatuhkan perdana menteri yang sedang berkhidmat. Jika 1MDB tidak wujud, Tun akan mencari alasan lain," tambahnya.

Najib menjelaskan bahawa serangan oleh Dr Mahathir hanya akan mengancam Umno, kerajaan dan akhirnya memberi kesan kepada Malaysia.

"Tun sekarang mengatakan Barisan Nasional (BN) akan kalah pada pilihan raya umum akan datang, tetapi sejak bila seorang individu berhak untuk bercakap mewakili undi rakyat?

"Pembangkang dalam keadaan huru-hara, dan terdapat perpecahan idelologi dalam pakatan mereka, ia akan melumpuhkan negara sekiranya mereka mengambil alih," kata Najib sambil menambah bahawa sekiranya BN kekal bersatu dan membuktikannya layak, rakyat akan melihat Dr Mahathir adalah silap.

Dr Mahathir merupakan pengkritik kuat terhadap kepimpinan Najib, terutama mengenai 1MDB sejak kebelakangan ini.

Tags / Kata Kunci: 1MDB , Dr Mahathir Mohamad , Najib Tun Razak

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan