Kematian Akibat Denggi Meningkat 100 Peratus

Diterbitkan: Jumaat, 12 Jun 2015 5:30 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Jumlah kematian akibat denggi di seluruh negara bagi enam bulan pertama tahun ini meningkat 100 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga 6 Jun lalu, sebanyak 144 kematian direkodkan berbanding 72 kes untuk tempoh sama pada 2014.

"Komplikasi seperti kegagalan fungsi organ hati dan buah pinggang serta 'shock syndrome' lebih kerap berlaku kepada pesakit yang dijangkiti demam denggi," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham berkata, kes demam denggi di seluruh negara pada minggu ke-22 iaitu dari 31 Mei hingga 6 Jun meningkat lapan peratus jika dibandingkan dengan minggu sebelumnya.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut 2,201 kes dilaporkan berbanding hanya 2,042 kes pada minggu ke-21.

Beliau berkata, tujuh negeri yang menunjukkan peningkatan kes adalah Selangor iaitu 114 kes; Melaka (46 kes); Pahang (27 kes); Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (24 kes); Negeri Sembilan (tujuh kes); Kedah (lima kes), manakala Johor (lima kes).

Tambahnya, jumlah lokaliti wabak dan kawasan panas turut meningkat daripada 725 pada minggu sebelumnya kepada 793 pada minggu ke-22 iaitu peningkatan sebanyak sembilan peratus.

Sementara itu, sebanyak 131 tapak binaan di Selangor diperiksa dalam Ops Tempur Binaan Aedes yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan serta agensi lain sejak 10 Feb lalu hingga 7 Jun, katanya.

Dr Noor Hisham berkata, hasil pemeriksaan mendapati 113 tapak binaan mempunyai pembiakan nyamuk Aedes, manakala 94 lagi telah diberi perintah penutupan.

Tags / Kata Kunci: denggi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan